Jumaat, 12 April 2019 | 9:33am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Uber keluarkan perincian IPOnya

NEW YORK: Uber Technologies Inc mendedahkan dalam pemfailan tawaran awam awalnya (IPO), mengatakan lebih daripada 90 juta menggunakan perkhidmatannya di seluruh dunia.

Ia juga memberi amaran bahawa syarikat itu mungkin tidak dapat membuat keuntungan disebabkan tekanan daripada saingan.

Prospektus yang difailkan Uber itu memberikan gambaran kewangan komprehensif yang pertama bagi syarikat perkhidmatan pengangkutan dan ‘ride-hailing’ itu.

Bermula pada 2009 selepas pengasasnya berhadapan kesukaran mendapatkan teksi pada malam bersalji, Uber telah mengubah cara jutaan orang mengembara dan berulang-alik tetapi terus rugi.

Pemfailan dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (AS) mendedahkan Uber mempunyai 91 juta pengguna pada platformnya pada penghujung 2018.

Uber berkata, ia menjangka perbelanjaan operasi "meningkat dengan ketara pada masa depan" dan memberi amaran "mungkin tidak dapat mencapai keuntungan."

Bagaimanapun, ia tidak memperincikan saiz IPO itu.

Uber akan menyusul Lyft Inc dalam menyenaraikan sahamnya.

Saham pesaing yang lebih kecil, Lyft, ditutup pada AS$61.01 pada Khamis, 15 peratus di bawah harga IPO.

Saham Uber dijadualkan di senarai di Bursa Saham New York seawal Mei.

Syarikat itu mendakwa menguasai lebih 65 peratus pasaran di AS dan Kanada, berbanding dengan Lyft dengan 39 peratus di AS.

Uber memperuntukkan sebahagian daripada IPO itu kepada pemandu yang memenuhi kriteria ditetapkan, termasuk yang sudah menamatkan 2,500 perjalanan. - Reuters

Berita Harian X