Jumaat, 5 April 2019 | 6:19pm
Ketua Pegawai Eksekutif Aerodyne Group, Kamarulazman Mohamed. NSTP/Mahzir Mat Isa.

Aerodyne sasar kuasai pasaran komersial dron

KUALA LUMPUR: Penyedia penyelesaian dron dipacu teknologi kecerdasan buatan (AI) tempatan, Aerodyne Group yakin untuk menguasai lebih 50 peratus pasaran dron komersial yang dianggarkan bernilai RM500 juta setahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengasasnya, Kamarul Muhamed, berkata perkhidmatan bersepadu yang ditawarkan syarikat akan meningkatkan kebolehpasaran Aerodyne dalam menawarkan penyelesaian kepada pelbagai sektor komersial.

"Kami menganggarkan nilai pasaran aplikasi komersial dron di Malaysia sekitar RM500 juta setahun. Dari jumlah ini kita jangkakan, lebih 50 peratus akan dikuasai Aerodyne.

"Aerodyne menawarkan perkhidmatan penyeluruh untuk penyelesaian komersial seperti sektor pertanian, pembinaan, infrastruktur, telekomunikasi, insurans, perlombongan dan banyak lagi. Ia meningkatkan kebolehcapaian kami dalam menyediakan penyelesaian terbaik kepada pelanggan," katanya.

Beliau kepada media selepas majlis memeterai perjanjian persefahaman (MoU) penubuhan anak syarikatnya, Aerodyne India di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Aerodyne India, Arjun Aggarwal.

Menyentuh mengenai undang-undang berkaitan dron, Kamarul berkata, Aerodyne menjangkan peraturan baharu mengenai penerbangan peralatan itu dapat diperkenalkan pada tahun ini.

Katanya, langkah kerajaan dalam memperkenalkan undang-undang itu penting bagi membuka ruang dan peluang syarikat tempatan termasuk Aerodyne mengembangkan perkhidmatan dalam skop yang lebih luas.

"Pasaran dron tempatan memerlukan peraturan yang jelas. Ramai yang beranggapan dron menjejaskan privasi dan keselamatan tetapi kita harus lihat keperluan untuk sektor ekonomi yang penting.

"Peraturan seharusnya selaras dengan perkembangan teknologi. Jika ada peraturan jelas, ia akan memudahkan operasi syarikat ,sekali gus meningkatkan keupayaan untuk berkembang.

"Kemajuan dalam mewujudkan peraturan di negara ini berjalan dengan lancar. Kita harus melihat perkara ini lebih jauh kerana penggunaan dron dalam sektor ekonomi ternyata dapat menjimatkan kos operasi," katanya.

Berita Harian X