Khamis, 4 April 2019 | 7:26pm
Datuk Seri Amrin Awaluddin letak jawatan sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property berkuatkuasa 3 Mei ini. - NSTP/Aziah Azmee

Amrin letak jawatan Pengarah Urusan Sime Darby Property

KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd (Sime Darby Property) mengumumkan pelantikan Datuk Wan Hashimi AlBakri Wan Ahmad Amin Jaffri sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan.

Ia susulan peletakan jawatan Datuk Seri Amrin Awaluddin sebagai Pengarah Urusan Kumpulan berkuatkuasa 3 Mei ini.

Wan Hashimi akan memangku jawatan berkenaan selepas tarikh berkenaan sementara Lembaga Pengarah menjalankan proses mencari pengganti Amrin secepat mungkin.

Pada masa ini, Wan Hashimi memegang jawatan sebagai Ketua Operasi Kumpulan dan beliau juga adalah bekas Ketua Eksekutif Negara Properties (M) Bhd yang kini menjadi sebahagian daripada Sime Darby Property.


Datuk Wan Hashimi AlBakri dilantik sebagai Pemangku CEO Kumpulan Sime Darby Property. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Beliau telah berkhidmat dengan Sime Darby Property selama hampir 15 tahun.

Pengerusi Sime Darby Property, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata pelantikan Wan Hashimi dibuat bagi membolehkan kumpulan melaksanakan strategi yang telah dirancang dengan gangguan minimum kepada operasi.

“Lembaga Pengarah merakamkan penghargaan kepada Amrin di atas perkhidmatan dan sumbangannya kepada kumpulan dan kami mengucapkan selamat maju jaya kepada kerjayanya di masa hadapan.

“Di bawah kepimpinannya, kumpulan telah melaksanakan semakan strategik dan meletakkan Pelan Tindakan Strategik lima tahun dikenali sebagai SHIFT20 yang direka untuk meningkatkan kapasiti organisasi, memacu inovasi dan mengukuhkan asas,” katanya.

Baru-baru ini, Sime Darby Property mengumumkan peningkatan 16 peratus dalam perolehan teras kepada RM153 juta, tidak termasuk pelarasan perakaunan sekali saja bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Disember lalu.

Ia disumbangkan oleh kenaikan 7.9 peratus pendapatannya kepada RM1.27 bilion.

Berita Harian X