Khamis, 28 March 2019 | 6:01pm

Metronic lancar prospektus untuk raih dana

KUALA LUMPUR: Metronic Global Bhd (Metronic) melancarkan prospektus untuk meraih dana menerusi terbitan hak yang boleh ditolak daripada empat saham hak dengan tiga waran percuma untuk setiap dua saham Metronic sedia ada pada harga terbitan 6.5 sen.

Ini bermakna, pelabur layak melanggan empat saham baharu Metronic pada harga 6.5 sen sesaham dan mereka juga akan menerima tiga waran secara percuma semasa langganan itu dibuat.

Dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, jika terbitan hak berkenaan mendapat langganan penuh, jumlah dana keseluruhan yang boleh diraih adalah sekitar RM41.9 bilion.

Katanya, daripada jumlah itu, RM22.4 juta akan disalurkan untuk membiaya Fasa Satu projek Kuala Krai dan baki RM18.7 juta lagi akan digunakan bagi projek kejuruteraan sedia ada dan masa depan.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Hong Kong VIA Limited, Kelly Wong Pei Fun, berkata pelanggan terbitan hak berkenaan berpeluang mendapat pulangan yang setimpal daripada harga tawaran saham biasa Metronic pada 6.5 sen yang lebih rendah daripada harga dagangan terakhir (hari ini) iaitu pada lapan sen sesaham dan juga waran percuma.

“Bagi setiap langganan empat terbitan hak pada 6.5 sen sesaham, jumlah potensi keuntungan keseluruhan adalah sebanyak 13.5 sen atau 52 peratus berdasarkan pelaburan 26 sen daripada empat saham hak pada nilai 6.5 sen sesaham.

“Ia adalah pulangan yang menarik. Pada harga lapan sen sesaham, harga saham Metronic disokong oleh perolehan tinggi sebanyak RM42 juta yang diperoleh sehingga 31 Disember 2018, menurut laporan tahunan terbaharu syarikat berkenaan,” katanya.

Untuk melanggan terbitan hak berkenaan, pelabur perlu memiliki saham Metronic sebelum ‘ex-date’ atau membuat pembelian hak yang didagangkan dari 21 Mac hingga 1 April ini.

Tempoh dan tarikh akhir bagi penerimaan dan pembayaran adalah pada jam 5 petang, Selasa (9 April 2019).

Berita Harian X