Khamis, 28 March 2019 | 5:35pm
KETUA Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad (kanan) pamer buku laporan kewangan 2018 pada majlis pembentangan laporan kewangan dan pengumuman dividen di Hotel Hilton, Kuala Lumpur. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

PNB teroka pelaburan dalam dan luar negara

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) meneruskan komitmen dalam meningkatkan kepelbagaian portfolio pelaburannya menerusi penerokaan pasaran kewangan global dan tempatan, bagi memastikan pulangan mapan pada masa depan.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata melangkah ke hadapan, PNB akan mempercepatkan rancangan mempelbagaikan portfolio pelaburan dalam semua kluster aset yang memberikan hasil lebih tinggi.

“Kami akan terus menyalurkan lebihan tunai ke dalam sekuriti pendapatan tetap dan aset global, selain menceburi sektor hartanah.

“Peruntukan portfolio PNB bagi aset global meningkat kepada 3.3 peratus sehingga 31 Disember 2018, berbanding 2.4 peratus pada 2017,” katanya pada Pembentangan Prestasi 2018 & Pelancaran Laporan Tahunan Bagi Tahun Kewangan 2018 PNB, di sini, hari ini.

Pengurus dana terbesar di Malaysia itu menguruskan aset bernilai RM298.5 bilion bagi tahun kewangan 2018, daripada RM279.2 bilion tahun sebelumnya.

Abdul Rahman berkata, PNB sudah mengenal pasti enam pengurus dana global yang berpotensi dan menjangkakan penempatan aset ekuiti swasta global melalui dana itu berjalan dengan baik dan terus berkembang pada 2019.

“Pelaburan ekuiti berkenaan dijangka akan mengambil masa sehingga tiga tahun,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan nama firma terbabit.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata PNB akan memastikan

setiap perancangan itu melalui proses pelaburan mantap dan kriteria yang ketat.

“Kami perlu mengkaji setiap pasaran baharu muncul dan kematangannya sebelum membuat sebarang komitmen. Kita tidak boleh terburu-buru bagi mengelak risiko kehilangan pelaburan kami.

“Beberapa negara yang sedang ditinjau antaranya negara ekonomi maju seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom, Australia, Jepun dan Jerman, selain ekonomi baharu muncul terutama dari Asia dan Eropah,” katanya.

Sehingga 31 Disember 2018, pecahan portfolio PNB terdiri daripada ekuiti awam (70.8 peratus); pasaran tunai dan kewangan (17.4 peratus); pendapatan tetap (5.8 peratus); hartanah (2.8 peratus); pelaburan swasta (1.9 peratus) dan lain-lain (0.3 peratus).

Selain itu, Zeti berkata, bagi pengemaskinian Rancangan Strategik 2017-2022, PNB akan melaksanakan kajian semula separuh penggal rancangan strategiknya yang tertumpu kepada bidang Peruntukan Aset Strategik dan Pengurusan Kecairan Optimum; Pengurusan Risiko Organisasi dan Transformasi Organisasi.

“Kajian semula itu penting bagi PNB untuk terus mempertingkatkan potensinya dalam terus memberi pulangan mampan bagi tempoh jangka panjang,” katanya.

Berita Harian X