Isnin, 25 March 2019 | 1:49pm

Dua dana AmInvest rangkul Anugerah Morningstar 2019

KUALA LUMPUR: Dua daripada dana AmInvest, AmDynamic Bond dan AmBon Islam menerima anugerah tertinggi kategori pendapatan tetap bagi Anugerah Morningstar 2019 Malaysia baru-baru ini.

Dalam kenyataan hari ini, AmInvest berkata AmDynamic Bond dinobatkan sebagai Dana Bon Terbaik Malaysia, manakala AmBon Islam terpilih sebagai Dana Bon Terbaik Malaysia (Syariah).

"Bagi jumlah pulangan setahun, AmDynamic Bond merekodkan kira-kira 6.4 peratus pada Disember 2018, manakala AmBon Islam sebanyak 4.7 peratus untuk tempoh yang sama,” katanya.

Morningstar memberi pengiktirafan kepada dana yang memberikan prestasi terbaik terhadap asas yang diselaraskan risiko pada 2018 serta untuk jangka panjang. Anugerah itu menggunakan metodologi bagi tempoh setahun.

Bagaimanapun, untuk menerima anugerah berkenaan, dana harus mencatat pulangan kukuh selama tiga tahun selepas risiko yang diselaraskan dalam kalangan anugerah kumpulan setara.

AmInvest adalah jenama perniagaan pengurusan dana bagi AmFunds Management Bhd dan AmIslamic Funds Management Sdn Bhd yang kedua-duanya adalah anak syarikat milik penuh AmInvestment Bank Bhd.

-BERNAMA

Berita Harian X