Isnin, 25 March 2019 | 9:00am

Pakatan oneworld, bantu Malaysia Airlines

KUALA LUMPUR: Gabungan 12 syarikat penerbangan menerusi oneworld, iaitu pakatan syarikat penerbangan global mampu memberikan keuntungan bagi Malaysia Airlines Bhd (Malaysia Airlines), dengan manfaat gabungan jumlah penumpang yang merekodkan seramai 540 juta tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif oneworld, Rob Gurney, berkata pemindahan penumpang antara anggota gabungan syarikat penerbangan itu menjana pendapatan sebanyak AS$5 bilion setahun (RM20.25 bilion).

“Sudah semestinya, Malaysia Airlines juga akan memperoleh keuntungan dan manfaat daripada pakatan anggota syarikat penerbangan oneworld.

“Selain itu, Malaysia Airlines juga akan mendapat manfaat daripada pengaturan perkongsian hasil menerusi pakatan syarikat penerbangan itu, yang boleh menyediakan sokongan secara kewangan untuk operasi syarikat penerbangan Malaysia itu,” katanya kepada NSTP, dalam satu temu bual baru-baru ini.

Gurney berkata, Malaysia Airlines adalah ahli oneworld yang bernilai kerana syarikat penerbangan itu menyediakan rangkaian sangat baik terutama di rantau Asia Tenggara.

“Semestinya syarikat penerbangan berkenaan telah memulakan program transformasinya sendiri untuk meningkatkan produk serta perkhidmatan selain pengalaman pelanggan.

“Saya yakin Malaysia Airlines akan terus berusaha untuk memperbaiki apa yang sudah mereka lakukan, seterusnya akan memberi faedah kepada pelanggan oneworld kami.

“Setiap syarikat penerbangan akan terus berusaha untuk memperbaiki diri bagi memberikan pengalaman lebih baik kepada pelanggan mereka,” katanya.

Dengan lebih 400,000 pekerja di seluruh dunia, oneworld menyediakan perkhidmatan terbaik melangkaui rangkaian syarikat penerbangan terutama bagi industri perniagaan pelancongan.

“Kami menawarkan kemudahan lebih 650 ruang istirehat (lounge) di lebih 1,000 destinasi. Kita perlu menyediakan perkhidmatan itu supaya pelanggan memiliki penerbangan dan pilihan destinasi lebih banyak,” katanya.

Kira-kira 60 peratus kapasiti penerbangan global dikendalikan oleh pakatan syarikat penerbangan global iaitu, oneworld, Star Alliance dan SkyTeam.

oneworld sendiri menyumbang kira-kira 18 peratus daripada kapasiti itu. oneworld dilancarkan pada 1 Februari 1999 oleh anggota pengasas yang terdiri daripada American Airlines, British Airways, Cathay Pacific Airways dan Qantas.

Kemudiannya, ia disertai anggota lain termasuk Finnair, Iberia, LATAM, Japan Airlines, Royal Jordanian dan Qatar Airways.

Malaysia Airlines menganggotai oneworld pada 2013. Dengan 14,000 penerbangan harian, oneworld membawa hampir 550 juta penumpang setahun dengan gabungan 3,500 pesawat serta menghasilkan pendapatan tahunan AS$135 bilion (RM546.32 bilion).

  

Berita Harian X