Jumaat, 15 March 2019 | 4:18pm
Kakitangan Lynas membuat pemprosesan nadir bumi Lynas di Kilang Proses Kawasan Perindustrian Gebeng. Foto NSTP/Muhd Asyraf Sawal.
Kakitangan Lynas membuat pemprosesan nadir bumi Lynas di Kilang Proses Kawasan Perindustrian Gebeng. Foto NSTP/Muhd Asyraf Sawal.

Lynas optimis lesen operasi dilanjutkan

KUANTAN: Lynas Malaysia Sdn Bhd optimis lesen operasinya akan dilanjutkan sebelum tarikhnya tamat September ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amanda Lacaze, berkata ini kerana Lynas telah memenuhi semua keperluan peraturan dan telah mematuhinya sejak loji nadir bumi pertama itu beroperasi di Gebeng di sini.

Beliau berkata, penemuan oleh Jawatankuasa Eksekutif Semakan Semula yang dilantik oleh kerajaan juga adalah positif, menguatkan lagi alasan untuk mendapatkan pembaharuan lesen.

“Saya juga percaya jika anda melakukan perkara dengan betul dan sentiasa memberi tumpuan untuk melakukan yang terbaik, semuanya akan baik-baik saja. Kami di Lynas menjalankan perniagaan yang selamat untuk rakyat dan persekitaran.

“Kami menyumbang kepada pekerjaan rakyat dan 97 peratus daripada kakitangan kami adalah warga Malaysia,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Sambutan Hari Wanita Antarabangsa Lynas di sini, hari ini.

Lacaze menambah, walaupun mereka mengalami masa yang sukar semasa tempoh mereka di sini, terutama tahun lalu, Lynas tetap mendapat sokongan penuh daripada pelanggan dan pekerjanya.

Beliau berkata Lynas akan terus mendidik orang ramai berdasarkan fakta dan bukti saintifik dan mengalu-alukan mereka yang ingin melawat loji, untuk membolehkan mereka mendapat gambaran yang lebih baik mengenai operasi Lynas.

“...menariknya, individu yang menentang Lynas masih belum melawat kami,” katanya.

Mengenai pemerkasaan wanita, Lacaze berkata sehingga sekarang lebih 100 wanita bekerja di pelbagai jabatan di Lynas berbanding 35 tahun lalu, dan beliau berharap jumlah itu akan meningkat pada masa depan.

“Kami mahu menjadi majikan pilihan wanita Malaysia terutama di Kuantan. Kami menawarkan suasana bekerja yang baik dan faedah yang besar termasuk cuti bersalin berbayar.

“Wanita yang bekerja di Lynas dijamin berupaya membuktikan potensi sebenar mereka,” tambahnya.

Berita Harian X