Khamis, 14 March 2019 | 12:57pm
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub (tengah) bersama Pengerusi Agrobank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal (duakanan); Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehuddin Hassan (kanan); Pengerusi Majlis Penasihat Pertanian Negara, Tan Sri Abdul Rahman Mamat dan Ketua Eksekutif Agrobank, Syed Alwi Mohamed Sultan (kiri) merasmikan majlis Dialog Niaga Agrobank. Foto NSTP/Zunnur Al Shafiq.

Agrobank sasar pembiayaan lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Agrobank menyasarkan pembiayaan berkembang sebanyak RM1.2 bilion tahun ini, sejajar potensi besar dalam sektor pertanian dan agro makanan di Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Alwi Mohamed Sultan, berkata sasaran berkenaan mampu dicapai berdasarkan prestasi positif bagi tahun kewangan 2018.

"Pada 2018, kami mencatatkan baki pembiayaan berjumlah RM10.7 bilion dan setakat Februari 2019 kami sudah merekodkan pertumbuhan pembiayaan sebanyak RM47.62 juta.

"Ini menunjukkan permulaan  2019 yang memberangsangkan bagi Agrobank," katanya pada sidang media selepas Dialog Niaga Agrobank (DNA) 2019 anjuran bank itu, di sini, hari ini.

Pelancaran disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salehuddin Ayub.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah Agrobank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan.

Syed Alwi berkata, angka pinjaman tidak berbayar (NPL) turut merekodkan penurunan pada tahun lalu iaitu 4.1 peratus berbanding 4.5 peratus pada 2017.

"Penurunan peratusan NPL itu disokong oleh pelaksanaan pengutipan yang baik, memastikan kualiti aset yang kukuh serta standard taja jamin.

"Justeru, kami menyasarkan NPL (turun) empat peratus pada tahun ini,"katanya.

Mengulas mengenai pembiayaan mikro, beliau berkata, Agrobank mengunjurkan sebanyak RM290 juta pada tahun ini, berbanding RM280 juta pada 2018.

Terdahulu, Mohamad Zabidi dalam ucapannya berkata, sepanjang 50 tahun penubuhan, Agrobank komited dalam usaha mengukuhkan ekonomi negara melalui sokongan dan penyediaan kredit yang menyeluruh untuk komuniti tani.

"Tema DNA 2019 kali ini memberi fokus pertanian sebagai sumber rezeki bukan saja untuk meningkatkan taraf hidup diri sendiri tetapi juga komuniti selain memperkukuhkan ekonomi negara.

"Sektor pertanian dan agro makanan mempunyai potensi besar dan masih relevan dengan permintaan yang berterusan," katanya.

Berita Harian X