Rabu, 13 March 2019 | 6:09pm
Pengarah Yap International Trading Sdn Bhd, Yap Khoon Kuan (kiri) bertukar MoU bersama Ketua Pegawai Eksekutif Addi Global Inc, Shim Youn Bo pada majlis di Kuala Lumpur. Foto NSTP/Hafiz Sohaimi.

YIT rancang guna CJ Wow Shop lancar produk kecantikan Korea

KUALA LUMPUR: Yap International Trading Sdn Bhd (YIT) sedang mengadakan perbincangan CJ Wow Shop untuk melancarkan produk baharunya ke dalam rangkaian televisyen itu dalam tempoh dua bulan ini.

Ia susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di antara syarikat itu dengan pengeluar produk kecantikan dan penjagaan rambut Korea Selatan, Addi Global Inc.

Menerusi MoU itu, YIT bakal mengedarkan produk keluaran Addi Global ke salon kecantikan, salon rambut dan akademi dandanan di seluruh Malaysia.

Pengarah YIT, Yap Khoon Kuan, berkata jika jualan di dalam televisyen adalah menggalakkan, syarikat akan membawa masuk lebih banyak produk kosmetik dan kecantikan Korea ke dalam CJ Wow Shop.

"Kami juga telah memperuntukkan AS$100,000 bagi tujuan aktiviti promosi dan pengiklanan," katanya selepas majlis menandatangani MoU antara YIT dengan Addi Global Inc di sini, hari ini.

Pada majlis MoU itu, YIT diwakili oleh Khoon Kuan manakala Addi Global oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shim Youn Bo.

Khoon Kuan berkata, syarikat menyasarkan jualan AS$1 juta menerusi pengedaran produk kecantikan dan penjagaan rambut dari Korea Selatan itu.

Katanya, YIT dan Addi Global juga berharap untuk mengukuhkan platform perniagaan-ke-perniagaan (B2B) yang akan menjadi hab perkhidmatan sehenti bagi bakal pelanggan produk kecantikan menjelang pertengahan 2019.

"Sebaik sahaja dapat melancarkan platform B2B ini pada pertengahan 2019, kami berharap dapat mencapai jualan sebanyak AS$1 juta menjelang akhir tahun ini," katanya.

Sementara itu, Youn Bo, berkata pihaknya bersetuju untuk memilih YIT sebagai pengedar rasmi produk milik mereka.

"Kami melantik YIT untuk mengedarkan beberapa jenama produk kami iaitu Package, Meditime, Bartera, Arthetuque dan Konad," katanya.

Berita Harian X