Ahad, 10 March 2019 | 4:21pm
Pengarah Urusan TNBX Sdn Bhd (TNBX), Ir Nirinder Singh Johl (tiga dari kanan) bertukar MoU bersama Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pakar) JKR, Ir Kamaluddin Abdul Rashid. MoU disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan (tengah).

TNB, JKR laksana kajian daya maju bumbung solar

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB), menerusi anak syarikatnya, TNBX Sdn Bhd (TNBX) dan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) sedang melaksanakan kajian daya maju untuk memasang bumbung solar di bangunan JKR di bawah Program Pembelian Tenaga Solar TNB.

Kajian berkenaan adalah satu daripada lima bidang kerjasama menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara kedua-dua pihak.

MoU itu dimeterai oleh Pengarah Urusan TNBX, Ir Nirinder Singh Johl manakala JKR diwakili oleh Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pakar), Ir Kamaluddin Abdul Rashid.

Menerusi MoU itu, TNB akan melabur, mereka bentuk, memasang dan menyelenggara sistem fotovoltan solar (PV) di bangunan JKR sepanjang tempoh kontrak selama 20 hingga 25 tahun.

Dengan pemasangan sistem bumbung PV dengan TNBX, JKR akan menikmati faedah bersih elektrik pada kos sifar modal terdahulu.

JKR juga akan dibilkan bagi elektrik yang dijana daripada sistem PV solar pada kadar yang lebih rendah daripada tarif elektrik biasa TNB.

Di samping itu, JKR boleh menjual sebarang tenaga yang berlebihan yang dijana daripada PV solar kembali ke TNB di bawah Skim Meter Tenaga Bersih (NEM).

Justeru, menerusi Program Pembelian Tenaga Solar TNB ini, JKR akan memperoleh manfaat daripada elektrik bersih untuk memenuhi sasaran pengurangan karbon tanpa membabitkan sebarang modal dan meraih keuntungan daripada penjimatan kos elektrik secara keseluruhan dengan minimum risiko.

Mengulas mengenai MoU berkenaan, Ir Nirinder berkata, kerjasama ini sebagai kerja berpasukan dua entiti yang berminat untuk menangani isu pengurusan tenaga.

“Diharapkan, inisiatif ini akan meningkatkan kesedaran untuk keperluan yang lebih besar bagi pengurusan tenaga di Malaysia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kedua-dua pihak juga bekerjasama dalam empat bidang lain iaitu Promosi Teknologi Hijau; Negara Pintar; Operasi Ketepatan dan Kecemerlangan Penyelidikan.

TNB menyasarkan untuk menjana 1,700MW tenaga diperbaharui (RE) menjelang 2025 selaras dengan sasaran kerajaan menjana 20 peratus sumber RE pada 2030.

Berita Harian X