Jumaat, 8 March 2019 | 6:07pm
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin. Foto NSTP/Asyraf Hamzah.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin. Foto NSTP/Asyraf Hamzah.

PETRONAS tumpu segmen LNG

KUALA LUMPUR: PETRONAS akan memberi tumpuan kepada segmen gas asli cecair (LNG) berikutan terdapat permintaan tinggi pada masa depan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata LNG adalah hasil jangka panjang syarikat itu dengan permintaan global dijangkakan mencecah 350 juta tan setahun.

“Kami akan terus komited menjalankan strategi jangka panjang dan membina kemajuan besar dalam pengembangan perniagaan teras kami termasuk LNG.

“Ia turut termasuk mencapai keputusan pelaburan akhir (FID) untuk LNG Kanada, iaitu projek LNG utama di Kitimat, British Columbia di Kanada yang membolehkan kami meneruskan komitmen bagi pembangunan sumber yang lestari dan bertanggungjawab,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi kewangan PETRONAS bagi 2018, di sini, hari ini.

Jumlah jualan purata gas Malaysia ialah sebanyak 2,777 juta kaki padu standard sehari (mmscfd), 86 mmscfd lebih tinggi daripada 2,691 mmscfd pada 2017, didorong oleh peningkatan permintaan.

Jumlah jualan LNG tahun lalu merosot 1.78 juta tan kepada 28.94 juta tan berbanding 27.16 juta tan pada 2017, disebabkan oleh pengeluaran lebih rendah dari Kompleks LNG Petronas di Bintulu, Sarawak.

Wan Zulkiflee berkata, PETRONAS turut memperoleh 10 tawaran perniagaan LNG pada 2018, yang menyumbang 5.84 juta tan setahun kepada portfolio perniagaannya.

Selain itu, katanya PETRONAS mencatatkan prestasi operasi lebih baik dalam segmen perniagaan huluan pada tahun lalu dengan merekodkan 10 penemuan penerokaan iaitu sembilan di Malaysia dan satu di luar negara.

Mengulas mengenai komitmen PETRONAS dalam mematuhi pengurangan bekalan minyak oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), beliau berkata Malaysia bersetuju untuk mengehadkan pengeluarannya kepada 15,000 tong sehari.

“Inilah yang kami usahakan dan kami perlu menunggu hasil mesyuarat OPEC di Baku, Azerbaijan yang bermula pada 17 hingga 18 Mac ini. Kita lihat apa yang akan berlaku di sana," katanya.

Pada Mei 2017, Malaysia menyatakan komitmennya menyertai negara OPEC lain untuk mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak 20,000 tong sehari untuk menstabilkan harga minyak global.

OPEC bersama pengeluar bukan OPEC diketuai Russia sudah mengekang pengeluaran sejak awal tahun ini dalam usaha mengurangkan inventori global dan menyokong harga.

Berita Harian X