Khamis, 28 Februari 2019 | 3:36pm
Sime Darby Property is the pioneer of Ara Damansara.

Sime Darby Property sasar kembali untung

KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd (SDP) dijangka kembali mencatatkan keuntungan pada suku pertama tahun kewangan 2019 menerusi langkah pelupusan aset bukan teras milik konglomerat hartanah itu, termasuklah penjualan aset hospitaliti di Singapura dan tanah di Kedah tahun lalu.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Amrin Awaluddin, berkata pada 31 Januari lalu, kumpulan hartanah itu telah memuktamadkan perjanjian pembelian dan jualan bagi projek Darby Park Executive Suites di Singapura yang dimulakan pada 1 November 2018.

Katanya, penjualan projek berkenaan membabitkan nilai berjumlah S$93 juta (RM280 juta) yang belum diambil kira pada tahun kewangan tahun lalu.

"Pelupusan aset berkenaan membabitkan keuntungan sebanyak S$67.3 juta (RM204.3 juta) yang akan diambil kira bagi suku pertama untuk tahun kewangan 2019.

"Bagi penjualan tanah seluas 300 ekar di Kedah, ia membabitkan transaksi dengan Zhejiang XSD Holding Group Co Ltd pada 29 November lalu pada harga RM88.9 juta yang akan dimuktamadkan pada suku kedua pada tahun kewangan tahun ini.

"Langkah ini dilihat dapat mewujudkan pengurusan modal dan menjana tunai dengan lebih baik sekali gus memberi peluang untuk kumpulan kembali mencatatkan keuntungan pada suku pertama untuk tempoh ini," katanya pada taklimat media pengumuman prestasi kewangan bagi tempoh 2018 di sini, hari ini.

SDP mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM318.7 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Disember 2018, berbanding keuntungan bersih berjumlah RM559.77 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu.

Melangkah ke hadapan, kumpulan berkenaan turut menyasarkan jualan sebanyak RM2.3 bilion tahun ini, selepas melepasi sasaran jualan enam bulan berakhir 31 Disember 2018.

Sementara itu, Amrin berkata, pihaknya turut menyasarkan untuk memberi perhatian bagi segmen pembangunan industri dan logistik yang dilihat berpotensi memberi pulangan pendapatan berulang kepada syarikat.

Menurutnya, pertumbuhan sihat dalam perdagangan dan permintaan memberangsangkan untuk sektor e-dagang menjadikan ia sebagai peluang terbaik untuk diterokai.

"Ketika ini kumpulan mempunyai kerjasama dengan Japan's Mitsui & Co dan Mitsubishi Estate Co Ltd bagi membangunkan taman perindustrian di Bandar Bukit Raja di Klang, Selangor.

"Tumpuan dalam segmen ini membolehkan kumpulan mempelbagai portfolio pendapatan seperti hasil sewa dan pelaburan hartanah yang mana menjelang 2020, ia dapat menyumbang 10 peratus kepada keuntungan sebelum cukai syarikat," katanya.

Berita Harian X