Rabu, 27 Februari 2019 | 8:43pm
MBM Resources Bhd merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM165.55 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.
MBM Resources Bhd merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM165.55 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.

MBM Resources Bhd kembali catat untung

KUALA LUMPUR: MBM Resources Bhd (MBMR Group) kembali mencatat keuntungan pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, didorong terutama oleh pelaksanaan tempoh tanpa cukai selama tiga bulan sebelum ini serta peningkatan keyakinan pengguna.

Kumpulan automotif itu yang memegang kepentingan majoriti dalam Daihatsu (M) Sdn Bhd serta 22.6 peratus kepentingan dalam Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd, merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM165.55 juta berbanding kerugian bersih RM138.72 juta pada 2017.

Perolehan turut meningkat kepada RM1.93 bilion pada 2018 daripada RM1.72 bilion sebelumnya, kata syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, hari ini.

“MBMR Group mengakhiri 2018 dengan meraih prestasi cemerlang berikutan pelaksanaan tempoh tanpa Cukai Barangan dan Perkhidmatan yang terbukti merangsang keyakinan pengguna. Ini turut didorong oleh minat berterusan terhadap jenama di bawah kumpulan ini, terutama permintaan tinggi bagi Perodua Myvi dan Axia, Volvo XC-90, XC-60 serta Volkswagen Tiguan,” katanya.

Bagi tempoh suku keempat, kumpulan itu mencatat keuntungan bersih sebanyak RM60.08 juta berbanding kerugian bersih RM181.63 juta setahun sebelumnya manakala perolehan meningkat 15.3 peratus kepada RM498.98 juta daripada RM432.83 juta.

Bagi suku sama 2017, kumpulan itu melaksanakan pelarasan sekali sebanyak RM238.3 juta merangkumi susut nilai pelaburan dan usaha sama serta hartanah, kilang dan peralatan.

Pada suku tahun di bawah kajian itu, susut nilai hartanah, loji dan peralatan adalah RM2.0 juta.

Perolehan bahagian perdagangan pemotoran pula meningkat 18.5 peratus tahun ke tahun kepada RM438.1 juta pada suku keempat 2018, namun hasil segmen pengeluaran alat ganti berkurangan sebanyak 6.8 peratus kepada RM58.5 juta.

Berita Harian X