Rabu, 27 Februari 2019 | 6:01pm

Hisham dilantik Pengarah Media Prima

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd (MPB) mengumumkan pelantikan Hisham Zainal Mokhtar sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif berkuatkuasa hari ini.

Hisham, 57, kini berkhidmat sebagai Pengarah di Pejabat Pengarah Urusan Kumpulan di Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) sejak Julai 2018.

Beliau juga adalah Jurulatih Perniagaan di Asia School of Business sejak Ogos 2018 dan anggota Lembaga Pengarah di Telekom Malaysia Bhd, CIMB Principal Management Bhd dan CIMB Principal Islamic Asset Management Sdn Bhd.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Mohd Nasir Ahmad, berkata Hisham membawa banyak pengalaman dan kepakaran dalam bidang perniagaan dan kewangan.

“Kami percaya beliau akan memberi sumbangan besar dalam memberikan nilai kepada pemegang saham,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Selain itu, pelantikan terbaharu itu turut mencerminkan komitmen Media Prima ke arah pelaksanaan tindakan strategik bagi memperkukuh kedudukan sebagai kumpulan media bersepadu terkemuka di Malaysia.

Hisham memulakan kerjayanya dalam industri insurans di Universal Life and General Insurance pada 1987 dan kemudiannya menyertai William M Mercer Sdn Bhd pada 1988 sebelum menjadi penganalisis pelaburan dengan Crosby Research (M) Sdn Bhd pada 1991.

Dengan pengalaman luas yang dimilikinya, Hisham juga pernah menyertai Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) pada Mei 2005 dan menjadi Pengarah di Bahagian Pelaburan, Khazanah pada April 2009 hingga Jun 2014.

Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Operasi di Astro Overseas Limited dari Julai 2014 hingga Jun 2018. Hisham memperoleh Sarjana Muda Sains dan Sarjana Sains dalam Matematik dari Illinois State University, Amerika Syarikat (AS) masing-masing pada 1984 dan 1986.

Selain itu, beliau juga mempunyai Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Massachusetts Institute of Technology (MIT), AS di bawah Program Sloan Fellows di MIT Sloan School of Management pada 2010.

Berita Harian X