Selasa, 26 Februari 2019 | 7:41pm

Petronas Dagangan raih untung RM1.12 bilion

KUALA LUMPUR: Petronas Dagangan Bhd (PDB) mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM1.12 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, susut 18.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ia disebabkan oleh penurunan signifikan pada harga Mean of Platts Singapore (MOPS) yang dialami pada suku keempat sehingga menyebabkan untung kasar lebih rendah.

Pendapatannya dalam tempoh dikaji bagaimanapun meningkat 10 peratus kepada RM30.07 bilion.

Tahun kewangan dikaji turut menyaksikan PDB berkembang dari segi jumlah jualan untuk perniagaan peruncitan, gas petroleum cecair (LPG) dan pelincir.

Sementara itu, bagi suku keempat yang berakhir pada 31 Disember 2018, PDB merekodkan peningkatan satu peratus bagi jumlah jualan berbanding suku sama tahun lalu, yang juga pertumbuhan berterusan sejak suku kedua 2018.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Datuk Seri Syed Zainal Abidin, berkata sejajar dengan jumlah jualan yang tinggi dan peningkatan dalam harga jualan purata, perolehan pada suku terbabit berkembang 10 peratus kepada RM7.9 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, berdasarkan kepada penurunan harga produk petroleum pada November dan Disember 2018, keuntungan sebelum cukai syarikat berkurangan kepada RM70.1 juta.

“Suku keempat adalah tempoh yang mencabar dengan harga minyak mentah dan produk petroleum turun secara mendadak, sekali gus memberi kesan kepada keuntungan syarikat.

“Kami berjaya meminimumkan kesannya dengan menekankan peningkatan jumlah jualan dan pada masa sama memfokuskan pengurusan inventori, bekalan dan kecekapan pengedaran serta mengoptimumkan belanja operasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi tempoh tahun kewangan keseluruhannya, perniagaan runcit merekodkan peningkatan jumlah jualan sekitar 0.5 peratus yang disokong oleh kempen pemasaran dan peningkatan pengalaman pelanggan.

Selain itu, keuntungan kasar susut 2.1 peratus disebabkan penurunan harga produk petroleum pada suku keempat tahun lalu.

Perniagaan LPG juga mencatatkan pertumbuhan 1.2 peratus manakala, perniagaan pelincir pula turut meningkat sekitar 0.3 peratus.

Berita Harian X