Selasa, 26 Februari 2019 | 4:19pm

Keuntungan bersih UEM Sunrise meningkat

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih UEM Sunrise Bhd melonjak 165.53 peratus kepada RM280.33 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 daripada RM105.57 juta pada 2017.

Prestasi cemerlang itu didorong keuntungan daripada penjimatan kos pembangunan hartanah, perbelanjaan operasi lebih rendah dan margin lebih tinggi daripada tanah yang dijual di Iskandar Puteri.

Perolehan meningkat kepada RM2.04 bilion daripada RM1.86 bilion bagi tempoh yang sama, demikian menurut pemaju hartanah itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, hari ini.

“Syarikat mencatatkan perolehan lebih tinggi pada tahun kewangan berkenaan berbanding tahun kewangan sebelumnya, dipacu oleh penyelesaian sebahagian projek Aurora Melbourne Central dan Conservatory pada separuh kedua 2018.

“Perolehan lebih rendah daripada projek domestik dicatatkan susulan penyiapan projek Teega, Arcoris, Bayu Angkasa dan Residensi 22 tahun lalu,” kata syarikat itu.

Pada suku keempat, UEM Sunrise berjaya kembali mencatatkan keuntungan selepas merekodkan keuntungan bersih RM20.08 juta berbanding kerugian RM50.95 juta, manakala perolehan melonjak kepada RM752.79 juta daripada RM303.29 juta.

Mengenai prospek, syarikat itu menjangkakan unjuran sektor hartanah kekal mencabar namun tawaran berserta saranan nilai khusus serta lokasi strategik digabungkan dengan pakej harga menarik, sewajarnya terus menggalakkan permintaan dan meraih jualan.

-BERNAMA

Berita Harian X