Selasa, 26 Februari 2019 | 3:52pm
Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (Malaysia) Bhd, Juan Aranols.

Laba sebelum cukai Nestle RM876 juta

KUALA LUMPUR: Nestle (Malaysia) Bhd (Nestle) mencatat keuntungan sebelum cukai RM876 juta bagi tahun kewangan 2018, meningkat 7.8 peratus berbanding RM812 juta tahun sebelumnya.

Kumpulan mencatatkan pendapatan RM5.5 bilion dalam tahun dikaji, iaitu 4.9 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Keputusan positif ini dicapai berasaskan pertumbuhan kukuh dalam perniagaan domestik dan juga eksport.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestle, Juan Aranols, berkata kecekapan dalaman yang lebih baik dan harga menguntungkan bagi komoditi utama telah menyumbang kepada keuntungan kukuh kumpulan bagi tahun kewangan 2018.

“Sepanjang tahun 2018, kami terus memacu pemasaran dan pelaburan perdagangan untuk mengukuhkan kedudukan kompetitif produk kami dan meningkatkan kesedaran dan pengesahan jenama kami dengan pengguna.

“Kami juga memanfaatkan peluang ditawarkan oleh landskap digital dan eCommerce, untuk meneroka jalan baharu bagi meningkatkan lagi pembabitan dengan pengguna,” katanya.

Nestle mencadangkan dividen akhir sebanyak RM1.40 sesaham termasuk dividen interim yang telah dibayar.

Ini akan menghasilkan jumlah dividen bagi tahun kewangan 2018 kepada RM2.80 sesaham.

Mengenai prospek masa depan, Aranols berkata syarikat itu yakin dengan keupayaannya untuk mencapai satu lagi keputusan tahunan yang baik bagi tahun kewangan 2019.

“Kami melihat permintaan kukuh untuk jenama Nestle di Malaysia dan syarikat telah merangka rancangan mantap untuk terus menjana pertumbuhan mapan dan menguntungkan.

“Pada masa yang sama, kami mengakui menghadapi tekanan akibat harga komoditi lebih tinggi dan permintaan yang semakin tidak menentu di pasaran eksport utama,” katanya.

Berita Harian X