Isnin, 25 Februari 2019 | 1:22pm
Pengasas Simplysiti, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan CIMB Islamic, Mohamed Rafe Haneef pada majlis menandatangani kerjasama di antara CIMB Islamic dan SimplySiti. Foto NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman.

Kerjasama CIMB, SimplySiti tembusi pasaran global

KUALA LUMPUR: CIMB Islamic Bank Bhd menjalin kerjasama dengan SimplySiti Sdn Bhd bagi membantu jenama kecantikan dan penjagaan kulit halal berkenaan menembusi pasaran global.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Islam Kumpulan CIMB Group, Rafe Haneef, berkata CIMB Islamic memainkan peranan sebagai pemberi kemudahan pembiayaan kepada SimplySiti.

Rafe berkata, jenama tempatan itu juga akan menerima sokongan daripada Koridor Halal CIMB-ASEAN dan rangkaian serantau kumpulan yang kukuh.

“Terdapat banyak peluang untuk berkembang bagi mana-mana perniagaan tempatan dan produk IKS,namun cabarannya adalah bagaimana perniagaan itu mahu berkembang.

“Menerusi kerjasama ini, kami teruja untuk memudahkan langkah SimplySiti mencapai pertumbuhan dengan mengambil peluang di dalam perniagaan halal di ASEAN.

“Sokongan transaksi dan perbankan akhir ke akhir juga menyumbang kepada pengukuhan nilai kami untuk membantu perniagaan seperti SimplySiti membina perniagaan halal rentas sempadan,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani kerjasama di antara CIMB Islamic dan SimplySiti di sini, hari ini.

Hadir sama ialah, Presiden dan Pengasas SimplySiti, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SimplySiti, Azuddin Rahman.

Berita Harian X