Isnin, 25 Februari 2019 | 11:39am

Rancangan pengambilalihan konsesi lebuh raya, saham Gamuda susut

KUALA LUMPUR: Saham-saham Gamuda Bhd susut pada awal dagangan hari ini susulan laporan bahawa kerajaan telah memulakan rundingan dengan syarikat itu bagi tujuan pengambilalihan empat konsesi lebuh raya dengan pegangan majoritinya, sejajar hasrat untuk memansuhkan kutipan tol di kawasan terbabit.

Lebuh raya itu adalah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART.

Pada jam 10.01 pagi ini, saham Gamuda susut 28 sen kepada RM2.76 dengan 18.63 juta saham saling berpindah tangan.

Kenanga Research menerusi nota penyelidikannya hari ini, mengalu-alukan langkah kerajaan yang berusaha mengurangkan bebanan rakyat dan menyifatkan ini mungkin membolehkan Gamuda memanfaatkan nilai lebuh raya berkenaan selain memberi tumpuan terhadap perniagaan pembinaan dan pembangunan hartanah syarikat itu.

Malah, baru-baru ini, Gamuda berjaya meraih kontrak bernilai RM900 juta membabitkan kerja-kerja pembinaan kediaman bertingkat serta tugasan tambahan daripada PNB 118.

"Mengikut anggaran penilaian kami, Gamuda dijangka memperoleh RM2.8 bilion bagi pelupusan semua ekuiti mereka dalam empat konsesi lebuh raya itu kepada kerajaan.

"Namun, jangkaan kami adalah konservatif kerana tidak mengambil kira kemungkinan lanjutan untuk Kesas yang dijadual berakhir pada 2023,” katanya.

Firma penyelidikan itu turut menjangkakan hutang bersih Gamuda dapat dikurangkan kepada 0.22 kali pada suku pertama 2019 daripada 0.58 kali.

"Bagaimanapun, kami tidak menjangkakan syarikat itu akan mengumumkan sebarang dividen khas susulan langkah itu kerana percaya pihak pengurusannya mungkin menggunakan hasil itu bagi tujuan pelaburan semula,” katanya.

Kenanga Research turut menyemak turun penarafan Gamuda kepada ‘prestasi pasaran’ daripada ‘outperform.’

-BERNAMA

Berita Harian X