Jumaat, 22 Februari 2019 | 4:28pm
Apple Inc bekerjasama dengan gergasi pembayaran gergasi China, Ant Financial Services Group dan beberapa bank tempatan untuk menawarkan pembiayaan tanpa faedah. - Foto AFP
Apple Inc bekerjasama dengan gergasi pembayaran gergasi China, Ant Financial Services Group dan beberapa bank tempatan untuk menawarkan pembiayaan tanpa faedah. - Foto AFP

Apple tawar pembiayaan iPhone tanpa faedah di China

SHANGHAI: Apple Inc bekerjasama dengan gergasi pembayaran gergasi China, Ant Financial Services Group dan beberapa bank tempatan untuk menawarkan pembiayaan tanpa faedah, langkah pertama dilakukannya di negara itu dalam usahanya untuk meningkatkan jualan telefon pintar.

Gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) itu mengeluarkan amaran pendapatan yang jarang berlaku pada bulan lalu yang menunjukkan jualan iPhone yang lemah di China, satu daripada pasarannya yang paling penting di mana perbelanjaan pengguna terjejas akibat kelembapan pertumbuhan ekonomi.

Dalam laman webnya di China, Apple mempromosikan skim baharu, di mana pelanggan boleh membayar 271 yuan (AS$40.31) setiap bulan untuk membeli iPhone XR, dan 362 yuan setiap bulan untuk iPhone XS. Pelanggan yang menukar model lama boleh mendapat ansuran yang lebih murah.

Pengguna yang membeli produk bernilai sekurang-kurangnya 4,000 yuan daripada Apple akan layak untuk pembiayaan tanpa faedah yang boleh dibayar selama tiga, enam, sembilan, 12 atau 24 bulan, menurut laman web itu.

Model iPhone 64GB versi XR dan XS masing-masing dijual pada harga rasmi 6,499 yuan dan 8,699.

Apple menawarkan pelan itu melalui Huabei, perkhidmatan kredit pengguna yang dikendalikan oleh Ant Financial, rakan sekutu pembayaran gergasi e-dagang Alibaba, menurut laman web Apple di China.

Apple dan Ant Financial enggan mengulas mengenai skim ini.

China Construction Bank Corp, China Merchants Bank Co Ltd, Agricultural Bank of China Ltd dan Industrial and Commercial bank of China Ltd juga menawarkan skim pembiayaan untuk produk Apple, dengan pembelian minimum 300 yuan, menurut laman web Apple di China.

Apple berdepan cabaran di China di mana pertumbuhan ekonomi perlahan pada 2018 kepada kadar paling lemah dalam 28 tahun, yang diburukkan lagi oleh perang perdagangan dengan AS. Syarikat AS itu juga berdepan persaingan semakin meningkat dari pembuat telefon bimbit China.

Beberapa peruncit elektronik China termasuk Alibaba yang disokong Suning dan JD.com menurunkan harga iPhone baru-baru ini, dengan diskaun yang besar sehingga 20 peratus.

Data dari firma penyelidikan IDC menunjukkan penghantaran iPhone ke China jatuh 19.9 peratus pada suku keempat 2018 berbanding tahun sebelumnya.

Jumlah penghantaran telefon pintar ke negara ini turun 9.7 peratus dalam tempoh yang sama, walaupun jenama domestik seperti Huawei, Oppo, dan Vivo masih meningkatkan penguasaan pasaran. - Reuters

Berita Harian X