Khamis, 21 Februari 2019 | 2:48pm

Untung bersih Sime Darby naik 69.4 peratus

KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM542 juta bagi enam bulan berakhir 31 Disember 2018, meningkat 69.4 peratus daripada RM320 juta dalam tempoh sama tahun kewangan sebelumnya.

Keputusan positif itu disokong oleh prestasi mantap dalam bahagian perindustrian kumpulan.

Pendapatannya bagi separuh pertama tahun kewangan 2019 berjumlah RM18.3 bilion, meningkat 7.7 peratus berbanding RM17 bilion dalam separuh pertama tahun kewangan 2018.

Keuntungan sebelum cukai dan faedahnya pada enam bulan dikaji meningkat 36.2 peratus kepada RM674 juta, disokong khususnya oleh prestasi mantap dalam bahagian perindustrian, diterajui oleh operasi Australasia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Jeffri Salim Davidson, berkata prestasi pada separuh pertama tahun kewangan 2019 agak kukuh, khususnya disebabkan oleh bahagian industri di Australia.

“Permintaan bagi produk dan perkhidmatan kami daripada sektor perlombongan dan pembinaan di sana adalah tinggi. Namun, kami menyaksikan penurunan kecil dalam perniagaan motor kumpulan, khususnya di China dan Singapura,” katanya dalam satu kenyataan.

Berita Harian X