X
Selasa, 19 Februari 2019 | 8:49pm
Hospital Pakar KPJ Bandar Dato' Onn. Foto BERNAMA.
Hospital Pakar KPJ Bandar Dato' Onn. Foto BERNAMA.

Hospital Pakar KPJ Bandar Dato' Onn mula operasi

JOHOR BAHRU: Hospital Pakar KPJ Bandar Dato' Onn di sini, yang dibina dengan kos keseluruhan lebih RM250 juta, memulakan operasinya hari ini.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Bhd, Datuk Amiruddin Abdul Satar, berkata pembukaan pusat perubatan itu menjadikannya sebagai hospital pakar KPJ yang keenam di negeri ini dan ke-26 dalam rangkaian hospital KPJ di seluruh negara.

Katanya, pembinaan hospital itu yang mengambil masa dua tahun di kawasan seluas 5.34 hektar merangkumi lima teras perkhidmatan penjagaan kesihatan iaitu perubatan ortopedik, geriatrik, onkologi, kardiologi dan pusat rawatan wanita serta kanak-kanak.

"Hospital ini menawarkan 12 klinik pakar yang disokong oleh perkhidmatan sokongan seperti Perkhidmatan Pengimejan Digital (DIS), kimoterapi, fisioterapi dan makmal. Hospital ini mempunyai sembilan doktor konsultan residen dan 23 doktor pelawat.

"Menariknya, hospital ini juga mempunyai kedudukan yang strategik iaitu 12 kilometer dari bandaraya, selain mudah diakses menerusi Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) dan Lebuh Raya Penyuraian Timur Johor Bahru (EDL)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Hospital Pakar KPJ Bandar Dato' Onn yang disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) merangkap Pengerusi KPJ Healthcare Bhd, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Bandar Dato’ Onn, Asmadi Mohd Bakri.

Amiruddin berkata, pihaknya berharap hospital 10 tingkat dengan kapasiti 150 katil pesakit itu mampu menyediakan perkhidmatan kesihatan berkualiti kepada masyarakat tempatan dan luar negara.

"Kewujudan hospital pakar ini pastinya merancakkan lagi bidang pelancongan kesihatan di negeri ini, malah selaras aspirasi kerajaan negeri dalam menjadikan Johor sebagai hab rawatan perubatan di rantau ini,” katanya.

Hospital Pakar KPJ Bandar Dato' Onn mendapat penganugerahan lesen daripada Kementerian Kesihatan bagi mengendalikan dan menyediakan kemudahan serta perkhidmatan kesihatan jagaan kesihatan swasta pada 26 Disember tahun lalu.

Penganugerahan lesen itu selaras dengan Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 2006 yang terkandung dalam Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

Berita Harian X