Selasa, 19 Februari 2019 | 3:35pm
Kilang Honda di Swindon, UK.

Honda rancang tutup kilang di UK

LONDON: Honda Motor Co merancang menutup kilangnya di United Kingdom (UK), sekali gus memberi tamparan terbesar kepada industri automotif Britain yang terjejas dengan pemberhentian ribuan pekerja akibat Brexit.

Kilang berpangkalan di Swindon itu adalah kemudahan automotif keempat terbesar di UK, selain mempunyai kira-kira 3,500 pekerja dan menghasilkan model hatchback Honda Civic.

Ahli Parlimen North Swindon, Justin Tomlinson, dalam laman Twitter berkata pengeluaran untuk pasaran Eropah akan dihasilkan di Jepun pada tahun 2021.

Honda juga merancang untuk menghentikan pengeluaran di Turki di mana syarikat itu menghasilkan moden sedan, Civic, kata Tomlinson.

Honda bagaimanapun tidak memberi maklum balas mengenai rancangannya.

UK menjadi hab pengeluaran bagi syarikat automotif Jepun apabila Honda, Nissan Motor Co dan Toyota Motor Co memiliki tiga daripada enam kilang pembuatan terbesar di negara itu.

Baru-baru ini, Nissan menolak rancangan untuk membangunkan kenderaan utiliti sukan (SUV), X-Trail di Sunderland dengan sebahagiannya disebabkan oleh status perdagangan yang belum diselesaikan antara Kesatuan Eropah (EU)-UK pasca Brexit.

Produk yang dihasilkan di UK juga berisiko menanggung kerugian menerusi perjanjian baharu yang secara berperingkat akan menghapuskan tarif import Jepun ke EU, namun Tomlinson yang juga pro-Brexit menjelaskan perpecahan itu bukannya faktor kepada rancangan Honda itu.

“Secara jelas ia berdasarkan kepada trend global, bukannya Brexit,” kata Tomlinson.

“Honda akan berunding dengan semua kakitangannya dan tiada sebarang kehilangan pekerjaan atau perubahan pengeluaran sehingga tahun 2021. Ketika ini, kami tidak boleh membuat sebarang komen mengenai spekulasi ini,” kata Honda.

“Kami akan bertanggungjawab dengan pihak bersekutu dengan serius dan akan sentiasa memberi maklum balas ke atas sebarang laporan.”

Saham Honda susut 0.4 peratus kepada 2,991.5 yen setakat jam 9.17 pagi di Tokyo, Jepun.

Perjanjian Perkongsian Ekonomi EU-Jepun yang berkuatkuasa pada 1 Februari memastikan tarif 10 peratus blok berkenaan ke atas import kereta Jepun akan dikurangkan kepada sifar bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Perjanjian itu memberi kemudahan kepada syarikat automotif Jepun bagi pengeluaran tempatan bagi jualan di EU, kata firma perundingan, LMC Automotive dalam laporan penyelidikannya awal bulan ini.

Pasaran UK paling berisiko dengan hampir separuh kereta dihasilkan di negara itu adalah jenama Jepun dan pengeluar negara matahari terbit itu mahu meningkatkan penggunaan kilangnya.

“Brexit menambah dimensi lain,” kata Pengarah Unjuran Pengeluaran Global LMC, Justin Cox, dalam laporan bertarikh 11 Februari.

Industri UK telah terjejas dengan isu Brexit, potensi tarif dan bekalan selepas negara itu meninggalkan blok perdagangan itu pada 29 Mac.

Ford Motor Co yang mengumumkan pengurangan ribuan pekerjaan di Eropah minggu lalu berkata, kesukaran Brexit akan menjadi ‘bencana’ kepada industri automotif UK dan kemudahan pengeluaran enjin jenama itu.

Bulan lalu, Jaguar Land Rover, pengeluar kereta terbesar Britain akan mengurangkan 4,500 jawatan susulan kejatuhan jualan akibat Brexit, termasuk penguncupan jualan di China dan kejatuhan permintaan terhadap diesel.

Kilang PSA Group, Vauxhall Ellesmere Port pula masih ragu-ragu untuk melaksanakan rancangannya bagi model Astra.

-Bloomberg

Berita Harian X