Jumaat, 15 Februari 2019 | 5:43pm

Garuda turunkan harga tambang 20 peratus

JAKARTA: Syarikat penerbangan nasional Indonesia, Garuda mengurangkan harga tiket penerbangan sebanyak 20 peratus, berikutan bantahan umum terhadap kadar tambang tinggi dan gesaan Presiden Joko Widodo yang meminta syarikat itu menawarkan harga tiket lebih murah.

Eksekutif syarikat berkenaan berkata, pengurangan itu adalah bagi semua laluan domestik Garuda serta anak syarikatnya iaitu Citilink Indonesia, Sriwijaja Air dan NAM Air.

“Langkah itu selaras dengan aspirasi rakyat Indonesia, sejumlah pertubuhan industri negara dan harapan Presiden Indonesia, yang menginginkan harga tiket penerbangan dikurangkan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, terutama dalam sektor pelancongan,” demikian menurut Ketua Eksekutif Garuda, Ari Askhara dalam satu kenyataan.

Beliau dalam satu pesanan teks berkata, pengurangan harga berkenaan tidak akan menjejaskan pendapatan syarikat penerbangan itu kerana ia akan membantu meningkatkan jumlah penumpang.

Berikutan laporan itu, saham Garuda merosot 2.7 peratus, tidak memberangsangkan dalam pasaran meluas.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan, Jokowi meminta syarikat penerbangan menurunkan harga tiket penerbangan bagi membantu industri hospitaliti negara itu meningkatkan kadar penghunian sekali gus merangsang sektor pelancongan, selain terdapat aduan daripada pengguna mengenai peningkatan harga tambang.

Penganalisis bagaimanapun berkata, campur tangan politik dalam sektor penerbangan akan menimbulkan masalah dan tekanan bagi pengurangan harga yang mana boleh menjejaskan keselamatan syarikat penerbangan itu yang sedia memiliki rekod kemalangan berterusan serta isu penyelenggaraan kurang memuaskan.

Rabu lalu, Widodo mengarahkan menteri berkaitan untuk menyemak semula harga bahan bakar penerbangan bagi mengurangkan tekanan ke atas tambang udara dan menggesa firma tenaga negara itu, Pertamina menurunkan harga bahan bakar pesawatnya.

Pertamina bagaimanapun tidak memberikan sebarang maklum balas mengenai perkara itu.

-Reuters

Berita Harian X