Rabu, 13 Februari 2019 | 1:35pm

Amazon, GM labur dalam pengeluar pikap trak elektrik

NEW YORK/SAN FRANCISCO: Amazon.com Inc dan General Motors Co (GM) merancang untuk melabur dalam Rivian Automotive LLC, menerusi satu perjanjian yang akan menjadikan pengeluar pikap trak elektrik Amerika Syarikat (AS) itu bernilai antara AS$1 bilion (RM4.07 bilion) dan AS$2 bilion (RM8.13 bilion), sekali gus bakal memberikan cabaran kepada Tesla Inc.

Menurut sumber, menerusi perjanjian itu, Amazon dan GM akan memiliki kepentingan minoriti dalam Rivian serta memberikan lonjakan kepada Plymouth, syarikat pemula niaga yang berpangkalan di Michigan untuk menjadi pengeluar kereta pertama menghasilkan pikap trak elektrik di pasaran pengguna AS.

Sekiranya rundingan itu berjaya, perjanjian urus niaga terbabit akan diumumkan seawal bulan ini, tambah sumber itu yang enggan mendedahkan identitinya.

“Kami mengagumi inisiatif Rivian ke arah pelepasan sifar dan penggunaan elektrik sepenuhnya,” kata GM yang juga enggan mengulas mengenai rundingan bersama Rivian.

Amazon dan Rivian juga enggan mengulas mengenai perkara terbabit.

Perjanjian dengan Rivian itu sekali gus akan menjadi pesaing terhadap pengeluar kenderaan elektrik, Tesla, yang kini menghadapi kesukaran menstabilkan pengeluaran dan meraih keuntungan konsisten.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla, Elon Musk, pada Ogos lalu memberi gambaran kepada pelabur bahawa syarikat itu akan menghasilkan trak pikap elektrik sebagai produk seterusnya.

Bagaimanapun, beliau berkata pelancarannya dijangka dibuat selepas memperkenalkan Tesla Model Y, disasarkan pengeluarannya oleh syarikat itu menjelang 2020.

Rivian merancang untuk mula menjual R1T, pikap trak yang membuat penampilan sulung pada November lalu, menjelang 2020.

Syarikat itu mula ditubuhkan pada 2009 oleh R J Scaringe sebagai CEO.

Beliau berkata syarikat itu merancang untuk mengadakan usaha sama bersama firma luar bagi membangunkan teknologi pemanduan sendiri canggih.

Syarikat automotif terkemuka, termasuk GM, sehingga kini masih belum menceburi pasaran elektrik pikap.

CEO GM, Mary Barra, berkata, syarikat itu sebelum ini pernah terfikir untuk menghasilkan pikap trak elektrik sepenuhnya, namun ia tidak dipandang serius.

-Reuters

Berita Harian X