X
Sabtu, 2 Februari 2019 | 10:14am
Naib Presiden Eksekutif dan Presiden Kawasan Asia Pasifik Hilton, Alan Watts. - Foto Khairull Azry Bidin
Naib Presiden Eksekutif dan Presiden Kawasan Asia Pasifik Hilton, Alan Watts. - Foto Khairull Azry Bidin

Malaysia pikat Hilton kembangkan operasi

KOTA KINABALU: Malaysia terus menjadi pilihan kumpulan hospitaliti dan perhotelan terkemuka dunia, Hilton untuk berkembang apabila lapan lagi hotel di bawah jenama itu sedang dibina di seluruh negara ketika ini.

Sejak membuka cawangan pertama di Malaysia pada tahun 1984 iaitu Hilton Hotel & Resort Petaling Jaya, Hilton sudah membuka 11 cawangan di bawah tiga jenama di seluruh Malaysia iaitu Hilton Hotel & Resorts dengan empat cawangan, DoubleTree by Hilton (empat cawangan) dan Hilton Garden Inn (tiga cawangan).

Naib Presiden Eksekutif dan Presiden Kawasan Asia Pasifik Hilton, Alan Watts, berkata hotel yang sedang dalam pembinaan ketika ini adalah Double Tree by Hilton masing-masing di Kota Kinabalu, Miri, dan Putrajaya serta Hilton Garden Inn di Johor Bahru.

Beliau berkata, dua jenama baharu di bawah Hilton iaitu jenama mewah Conrad Hotel & Resort dan jenama gaya hidup Canopy by Hilton juga sedang dibina di Kuala Lumpur, serta dijangka siap pada tahun 2021.

Katanya, Hilton juga baru saja membuka dua hotel baharu di bawah jenama Hilton Garden Inn iaitu Hilton Garden Inn Kuala Lumpur di Jalan Tuanku Abdul Rahman di ibu negara dan Hilton Garden Inn Puchong di Selangor.

"Kita juga sedia menimbangkan untuk membuka lebih banyak hotel di bandar lain di Sabah khususnya jika ada permintaan," katanya dalam satu temubual di sini, baru-baru ini.

Di Sabah, Hilton bakal membuka hotel keduanya di bawah jenama Double Tree by Hilton.

Hotel dengan kapasiti 230 bilik itu sedang dalam pembinaan di bandar raya ini dan dijangka siap pada 2022.

Watts berkata, pembukaan hotel kedua selepas Hilton Hotel & Resorts Kota Kinabalu yang beroperasi sejak dua tahun lalu itu sejajar dengan perkembangan pesat industri perhotelan dan hospitaliti di Sabah.

Katanya, pembinaan hotel itu adalah berdasarkan permintaan menggalakkan dan pencapaian baik Hilton sepanjang dua tahun bertapak di negeri ini.

"Ini juga sejajar kedudukan Sabah sebagai lokasi lapangan terbang kedua paling sibuk di Malaysia yang menyaksikan aliran pelancong dalam dan antarabangsa khususnya dari China, Korea dan Jepun semakin ramai berkunjung ke negeri ini," katanya.

Pembukaan hotel baharu di bawah Hilton, kata Watts, bukan hanya untuk mengembangkan jenama hotel berkenaan di seluruh dunia, malah memberi manfaat kepada masyarakat tempatan khususnya dalam penyediaan peluang pekerjaan.

Beliau berkata, Hilton Hotel & Resorts Kota Kinabalu ketika ini menyediakan antara 200 hingga 350 pekerjaan, iaitu sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu di lokasi ia bertapak.

Selain memikirkan hal berkaitan perniagaan, katanya, Hilton tidak ketinggalan melaksanakan aktiviti CSR lain dengan menumpukan usaha memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya di Asia Tenggara mengenai keburukan penggunaan plastik.

Hilton yang menyambut ulang tahun ke-100 pada tahun ini adalah antara jenama hospitaliti paling bertahan lama dan kekal menyediakan perkhidmatan terbaik serta berkualiti sama, seperti dilakukannya kira-kira seabad lalu.

Sepanjang tempoh itu, Hilton membuka kira-kira 5,000 hotel di seluruh dunia dan membantu dalam memindahkan teknologi serta pengetahuan berkaitan hospitaliti dengan jutaan orang mendapat manfaat.

Berita Harian X