Rabu, 30 Januari 2019 | 12:10pm

YTL beli hotel Westin di Perth

KUALA LUMPUR: YTL Corporation Bhd membeli The Westin Perth pada harga kira-kira A$200 juta (RM591 juta), menjadikannya antara penjualan hotel terbesar di ibu negeri Australia Barat, demikian menurut laporan Australian Financial Review.

Kumpulan pembinaan dan pemaju berpangkalan di Perth, BGC yang diasaskan oleh mendiang Len Buckeridge, mengesahkan ia telah menjual hotel itu kepada dua anak syarikat unit perhotelan YTL, Starhill Hotel (Perth) dan Starhill Hotel Operator (Perth).

BGC telah membangunkan hotel lima bintang Westin, yang mempunyai 368 bilik di 1 Hibernian Lane di bahagian timur Perth dengan 28 suite, restoran terkemuka 'Garum' milik chef Guy Grossi serta ruang persidangan dan mesyuarat seluas 1,700 meter persegi.

Penjualan Westin itu adalah susulan satu lagi penjualan oleh BGC, Aloft Perth kepada kumpulan perniagaan Singapura, Hiap Hoe pada harga kira-kira A$100 juta (RM295 juta) November lalu.

Operasinya kekal dengan Marriott International akan terus menguruskan kedua-dua Westin dan Aloft.

Pengarah BGC, Sam Buckeridge, berkata penjualan itu memberikan lebih A$300 juta (RM886 juta) modal bagi penggunaan semula syarikat.

“Kami amat berbangga membina dua tawaran hotel terbaik di Perth, menggabungkan komitmen BGC Construction terhadap kualiti dengan perkhidmatan luar biasa Marriott,” kata Buckeridge.

Mark Durran dari JLL menjadi broker penjualan itu.

Berita Harian X