Khamis, 24 Januari 2019 | 10:13am

Kerugian operasi global tarik turun keuntungan Ford

DETROIT: Ford Motor Co mencatat keuntungan operasi lebih rendah pada suku kewangan keempat berikutan kerugian yang dicatat di peringkat global, kecuali operasi di Amerika Utara.

Pengeluar kenderaan kedua terbesar Amerika Syarikat (AS) itu, yang sebelum ini mengumumkan pakatan dengan Volkswagen AG dari Jerman, dalam proses pengstrukturan semula operasinya di peringkat global.

Ia sedang melaksanakan pengurangan kos di Eropah, meninjau untuk menyusun semula operasi Amerika Selatan dan memulihkan operasi di China, kesemuanya adalah rantau yang tidak memberikan keuntungan kepada syarikat.

"Ia bukan tahun yang menggembirakan bagi kami dan suku kewangan keempat meneruskan tema itu," kata Ketua Pegawai Kewangannya, Bob Shanks, kepada wartawan di ibu pejabat syarikat itu di luar Detroit.

Beliau mengakui potensi akan berlakunya gangguan tahun ini seperti mogok di kawasan di mana operasi syarikat disusun semula.

Pada tahun 2018, Ford terkesan daripada tarif lebih tinggi dan peningkatan kos komoditi, pertukaran asing yang tidak memihak dan terpaksa memanggil semula kenderaan berkaitan isu beg udara dibekalkan Takata, kesemuanya dianggarkan sekitar AS$3.3 bilion.

Minggu lalu, Ford memberikan tinjauan lebih suram bagi 2019 kerana kos tarif dan ketidakpastian berhubung Brexit. Ia hanya berkata syarikat berpotensi meraih pendapatan dan keuntungan yang lebih tinggi.

Ini bertentangan pandangan General Motors Co, pesaing utamanya, yang mana pada 11 Januari lalu mengunjurkan pendapatan lebih tinggi pada 2019 jauh melepasi anggaran penganalisis.

Shanks mengulangi bahawa kedudukan Ford selaku peneraju pasaran di Britain memberikan pendedahan yang meluas kepada kesan Brexit.

Ford pada 10 Januari lalu berkata, beliau akan mengurangkan beribu-ribu pekerjaan dan meninjau untuk menutup kilangnya di Eropah sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk kembali meraih keuntungan di rantau itu.

Ford mencatatkan kerugian bersih AS$116 juta pada suku kewangan keempat, atau 3 sen sesaham, turun daripada keuntungan bersih AS$2.5 bilion, atau 63 sen sesaham, pada suku sama tahun sebelumnya, sebahagian besarnya disebabkan oleh kos pembayaran pencen dan lain-lain caj. - Reuters

Berita Harian X