Jumaat, 18 Januari 2019 | 12:25pm
(Dari kiri) Pengerusi Ambank (M) Bhd , Voon Seng Chuan; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ambank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir; Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Zamree Mohd Ishak dan Pengerusi CGC, Datuk Agil Natt pada majlis pertukaran dokumen Ambank (A) Bhd dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd bagi jaminan portfolio bernilai RM 100 juta eksklusif untuk Pengedar Proton. Foto NSTP/Rohanis Shukri.

Akses pembiayaan RM100 juta untuk pengedar Proton

KUALA LUMPUR: AmBank Bhd dan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) hari ini memeterai kerjasama strategik dengan Proton Edar Sdn Bhd bagi menyediakan akses pembiayaan menerusi Jaminan Portfolio (PG) CGC bernilai RM100 juta untuk pengedar kenderaan Proton.

Ia ditawarkan secara eksklusif kepada pengedar Proton yang layak untuk memudahkan mereka menaik taraf kemudahan kepada pusat 3S dan 4S.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir, berkata menerusi kerjasama dengan Proton Edar itu, pihaknya berhasrat untuk melengkapi komitmen menyediakan penyelesaian pembiayaan dan pengurusan tunai eksklusif kepada pengedar.

"Upacara hari ini menyoroti kemajuan kerjasama strategik antara AmBank dan CGC. Kami melihat pertumbuhan positif dengan kerjasama PG kami yang lalu dengan CGC melalui perbankan runcit dan perniagaan.

"Melangkah ke depan, kami akan bekerjasama dengan Proton Edar untuk penyelesaian pembayaran dan kutipan, terutama dengan pengedar," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pertukaran dokumen antara AmBank dan CGC bagi pengaturan PG itu di sini, hari ini.

Sulaiman berkata, ia adalah kemudahan pinjaman berjangka antara RM1 juta hingga RM3 juta, dengan 70 peratus pinjaman dijamin CGC, manakala fi jaminan diserap oleh AmBank.

Pengedar boleh mengemukakan permohonan mulai 18 Januari 2019, yang mana permohonan akan diproses berasaskan siapa yang cepat dengan peruntukan dihadkan pada RM100 juta.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak dalam ucapannya berkata acara hari ini sangat penting kepada AmBank dan CGC kerana PG khas ini akan menyediakan akses kewangan untuk pengedar kereta Proton untuk menaik taraf kemudahan ke pusat 3S & 4S.

“CGC sememangnya dihormati dan berbangga menjadi sebahagian daripada kerjasama ini untuk menyokong Proton, satu jenama penting dalam industri automotif Malaysia,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi CGC, Datuk Agil Natt dan Pengerusi AmBank, Voon Seng Chuan.

Berita Harian X