Rabu, 9 Januari 2019 | 5:51pm

Pelanggan AmBank boleh pindah wang guna DuitNow

KUALA LUMPUR: Pelanggan AmBank kini boleh memindahkan wang secara pantas dan selamat dengan hanya memasukkan nombor telefon mudah alih penerima menerusi perkhidmatan DuitNow yang dikendalikan oleh Payments Network Malaysia Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Operasi AMMB Holdings Bhd (AmBank Group), Datuk Iswaraan Suppiah, berkata pelanggan yang berminat hanya perlu melakukan pendaftaran sekali dan mudah di platform perbankan internet AmBank, AmOnline bagi pautan nombor telefon mereka dengan akaun bank.

Pelanggan juga boleh memilih untuk menggunakan nombor kad MyKad atau MyPR, pengenalan tentera atau polis, pasport atau nombor pendaftaran perniagaan bagi tujuan pautan dengan akaun bank bagi menerima wang.

“DuitNow menyediakan perkhidmatan yang mudah, cekap dan kami telah merekanya untuk dimasukkan ke dalam AmOnline dengan ciri-ciri yang lebih mudah difahami dan digunakan pelanggan.

“Kami turut memperkenalkan ciri-ciri nilai tambah baharu dalam platform perbankan itu bagi memberi pengalaman perbankan dalam talian yang lebih cekap lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ini termasuk pengaktifan kad kredit baharu dengan hanya satu langkah iaitu pelanggan mengaktifkan kad masing-masing menerusi proses 3-dalam-1, sekali gus membolehkan mereka menggunakan kad itu sejurus menerimanya.

Malah, aplikasi mudah alih AmOnline itu juga dapat diakses 24 jam sehari, tujuh hari seminggu serta dilengkapi fungsi akses pantas bagi kemudahan pelanggan mengakses akaun masing-masing.

Menurut AmBank Group, pelanggan juga boleh memeriksa baki akaun menerusi telefon pintar dengan memanfaatkan sistem pengecaman wajah, Face ID atau menggunakan Touch ID iaitu ciri pengecaman cap jari.

Selain itu, aplikasi perbankan mudah alih AmOnline itu kini dilengkapi dengan AMY iaitu pembantu perkhidmatan kewangan pelanggan secara maya yang pertama seumpamanya di negara ini bagi menangani semua pertanyaan berkaitan kad kredit.

AmOnline adalah antara platform perbankan dalam talian pertama di Malaysia yang ditawarkan dalam Bahasa Inggeris, Melayu dan Cina.

-BERNAMA

Berita Harian X