Rabu, 9 Januari 2019 | 4:13pm

The Banker pilih Maybank bank terbaik Malaysia

KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank) dipilih sebagai pemenang anugerah Bank Terbaik Tahun 2018 di Malaysia oleh majalah The Banker, menerusi inovasinya, HouzKEY yang memberikan perkhidmatan terbaik dan berkualiti kepada pelanggannya.

Dalam kenyataan, The Banker Editorial berkata Maybank telah melancarkan HouzKEY, produk sewa-milik inovatif, yang pertama seumpamanya di Malaysia, yang mengiktiraf jurang dalam pasaran untuk menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan perbankan Islam.

“Dengan peningkatan permintaan bagi rumah mampu milik di negara, Maybank telah mewujudkan penyelesaian alternatif untuk pemilikan rumah menerusi skim pajakan yang tidak memerlukan deposit.

“Pelanggan diberikan kemudahan membayar sewa pada kadar tidak berubah untuk lima tahun, dan apabila tempoh itu tamat, diberi pilihan untuk membeli hartanah itu pada harga yang dipersetujui pada permulaan kontrak, terus menyewa dengan kadar sewa tahunan naik dua peratus, atau menamatkan kontrak tanpa sebarang obligasi,” katanya.

Skim itu patuh syariah, berdasarkan prinsip pajakan Ijarah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Datuk Abdul Farid Alias, berkata asas kejayaannya diunjurkan pada misi bank dalam memberikan perkhidmatan kewangan bercirikan kemanusiaan, yang mendorongnya untuk melakukan inovasi dan menawarkan penyelesaian kewangan yang dapat meningkatkan kualiti kehidupan pelanggan.

HouzKEY yang diperkenalkan pada 2017 adalah skim inovatif sewa beli hartanah (RTO) pertama seumpamanya di Malaysia.

Ia memberikan penyelesaian alternatif kepada pembeli rumah pertama dan bagi mereka yang ingin menaik taraf rumah sedia ada.

Skim itu tidak memerlukan bayaran pendahuluan tetapi menawarkan harga pembelian tetap untuk pelanggan.

Produk perintis HouzKEY ini terbuka kepada isi rumah yang berpendapatan minimum RM5,000 dengan ciri khas termasuklah pembayaran sewa rata untuk lima tahun pertama.

Berita Harian X