Selasa, 8 Januari 2019 | 7:00pm
Ketua Pegawai Eksekutif Ditrolic Solar Sdn Bhd, Tham Chee Aun menunjukkan panel solar yang terdapat di atas bumbung bangunan pejabatnya di Johor Bahru. Foto NSTP/Zain Ahmed.

Liberalisasi mudahkan peralihan ke tenaga boleh diperbaharui

JOHOR BAHRU: Langkah kerajaan meliberalisasikan sektor tenaga dan menggalakkan tenaga boleh diperbaharui akan menjadikannya lebih berpatutan bagi pengguna beralih kepada tenaga boleh diperbaharui, terutama tenaga solar.

Ketua Pegawai Eksekutif Ditrolic Solar Sdn Bhd, Tham Chee Aun, berkata pelaksanaan Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) dan Perjanjian Bekalan bagi Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE) bermula 1 Januari lalu menjadikannya lebih murah bagi pengguna beralih kepada tenaga solar.

“Sebelum ini, apabila pengguna mahu beralih kepada tenaga solar, dia perlu memasang seluruh sistem dalam kediaman mereka yang akan membabitkan banyak kos.

“Dengan dasar baharu itu, halangan berkenaan dihapuskan dan pengguna kini boleh membeli tenaga secara langsung dari pembekal tenaga boleh diperbaharui seperti Ditrolic Solar.

“Pelanggan kini mempunyai pilihan sama ada untuk membeli dari Tenaga Nasional Bhd atau pembekal pihak ketiga seperti kami,” katanya.

Chee Aun berkata, kerajaan juga bercadang untuk meningkatkan nisbah tenaga boleh diperbaharui kepada 20 peratus menjelang 2025 berbanding kira-kira dua peratus ketika ini.

“Tenaga solar adalah sumber terbaik dan paling bersih tenaga boleh diperbaharui. Ia mempunyai kesan sangat kecil kepada alam sekitar serta paling dipercayai dan boleh dijangka berbanding dengan sumber lain seperti angin,” katanya.

Ditrolic Solar kini mempunyai kapasiti pemasangan sebanyak 60 megawatt di Malaysia dan bercadang untuk meningkatkannya sebanyak 50 megawatt lagi tahun ini.

Selain itu, ia mempunyai jumlah kapasiti sebanyak 60 megawatt di Singapura, Bangladesh dan Filipina.

“Buat masa ini, di bawah program Sun Lease, 80 peratus pelanggan kami adalah dari sektor komersial dan perindustrian. Kami bercadang memperluaskan program ini ke dalam sektor kediaman tahun ini,” katanya.

Beliau juga berkata, kos pemasangan sistem tenaga solar sudah berkurang berikutan kejatuhan harga panel solar global susulan isu lebihan bekalan kerana negara seperti China telah menarik balik dasar tertentu mengenai tenaga solar.

“Kita kini boleh menjual tenaga solar pada harga yang lebih rendah daripada TNB. Kami mengunjurkan pengguna tenaga solar boleh menjimatkan bil tenaga mereka antara 10 hingga 20 peratus,” katanya.

Chee Aun berkata, dengan pengembangan program Sun Lease, syarikat bercadang untuk menarik kira-kira 1,000 pelanggan dari sektor kediaman pada tahun pertama.

“Kami juga komited untuk membekalkan 500 megawatt tenaga solar menjelang 2025. Kami sangat positif dengan potensi sektor ini,” katanya.

Berita Harian X