Khamis, 3 Januari 2019 | 8:28pm

MAHB nafi kenakan caj klia2

KUALA LUMPUR: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjelaskan ia tidak pernah mengenakan ‘caj klia2’ RM3 yang akan dihentikan kutipannya oleh AirAsia.

Ia susulan pengumuman oleh syarikat penerbangan tambang murah itu awal minggu ini bahawa ia akan mengeluarkan ‘caj klia2’ yang dikenakan sebagai sebahagian harga tiketnya sejak 9 Mei 2014.

Katanya, ‘caj klia2’ dikenakan dan dikutip hanya oleh AirAsia sejak terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) memulakan operasi pada 2014.

“Satu-satunya caj yang dikutip oleh MAHB adalah caj perkhidmatan penumpang RM11 bagi pelepasan domestik, RM35 bagi pelepasan antarabangsa ke negara ASEAN dan RM73 bagi pelepasan antarabangsa ke negara bukan ASEAN,” kata MAHB dalam satu kenyataan bagi menjawab pertanyaan daripada media.

Isnin lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, berkata syarikatnya akan menghentikan kutipan caj RM3 di klia2 bagi pihak MAHB.

Keputusan itu dinyatakan dalam satu siaran langsung di Facebook.

Tony berkata, syarikat penerbangannya itu akan mengeluarkan caj berkenaan daripada harga tiket penerbangannya dari klia2 mulai minggu hadapan.

AirAsia sebelum ini mengenakan PSC sebanyak RM50 bagi pihak MAHB di klia2 dalam harga tiket penerbangannya, namun enggan menaikkan jumlah itu selepas MAHB menyemak semula caj berkenaan kepada RM73.

Peningkatan PSC itu selepas MAHB menyemak semula harga caj berkenaan dan menyeragamkannya antara caj yang dikenakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

AirAsia menyatakan peningkatan caj itu tidak bersesuaian kerana klia2 adalah terminal penerbangan kedua atau kos rendah.

Berita Harian X