Rabu, 2 Januari 2019 | 12:54pm
BADRUL Feisal Abdul Rahim. - NSTP/Roslin Mat Tahir

UMW Holdings gulung 4 anak syarikat minyak dan gas

KUALA LUMPUR: UMW Holdings Bhd melaksanakan penggulungan sukarela empat anak syarikatnya yang tidak tersenarai dalam segmen minyak dan gas.

Anak-anak syarikat terbabit ialah UMW Coating Technologies (Tianjin) Co Ltd, PFP (Shenzhen) Piping Materials Co Ltd, UMW China Ventures (L) Ltd dan UMW Offshore Investment (L) Ltd.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings, Badrul Feisal Abdul Rahim berkata, walaupun pergerakan harga minyak turun naik, pelaksanaan pelan strategik terancang untuk keluar daripada segmen minyak dan gas yang tidak tersenarai, berjalan lancar, termasuk beberapa lagi anak syarikat.

“Strategi pertumbuhan kami pada masa hadapan akan disokong oleh peluasan berterusan dalam tiga segmen teras yang akan menambah nilai kepada pemegang saham,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Badrul berkata UMW Holdings akan terus memberi tumpuan kepada pengukuhan perniagaan teras dengan momentum keuntungan yang bertambah baik.

– BERNAMA

Berita Harian X