Jumaat, 28 Disember 2018 | 4:24pm

F&N tumpu pertumbuhan dalam sektor F&B di Malaysia, Thailand

KUALA LUMPUR: Freaser and Neave Holdings Bhd (F&N) akan terus memberi tumpuan untuk memastikan pertumbuhan berterusan dan mampan dalam segmen eksport makanan dan minuman (F&B), kata pengerusinya Tengku Syed Badarudin Jamalullail.

Beliau berkata, pada tahun kewangan 2018 (FY18), syarikat itu meneruskan usaha pengukuhannya dengan mengenal pasti pemacu pertumbuhan dalam negara, dan bersedia untuk lebih berdaya tahan ketika pasaran tidak menentu selain cabaran perniagaan.

“Pendek kata, kami sudah membuat persiapan untuk merebut peluang hari esok,” katanya dalam Laporan Tahunan Syarikat 2018 yang dikeluarkan pada 24 Disember.

F&N berkata, pasaran F&B Malaysia secara menyeluruh masih menghadapi laluan sukar dengan syarikat itu menjangkakan berhadapan tekanan harga yang kompetitif, pergerakan mata wang yang turun naik serta harga komoditi yang tidak menentu, yang dijangkakan berterusan ke tahun 2019.

“Bagaimanapun inovasi dan penciptaan semula akan menjadi barisan hadapan perniagaan, untuk memastikan syarikat dapat memenuhi jangkaan pengguna bagi menghasilkan produk yang lebih sihat, lebih sedap, pada harga mampu milik.

"Kami akan memberi keutamaan kepada pengekstrakan sinergi daripada program transformasi kami dan meningkatkan usaha untuk mengembangkan jangkauan global kami untuk pasaran eksport, dan penyelidikan dan pembangunan pantas untuk merumuskan dan memperkenalkan lebih banyak pilihan yang lebih sihat dalam tahun kewangan 2019," katanya.

F&N berkata, ia akan memantau dengan teliti impak dan mengambil tindakan yang tepat pada masanya untuk mengenakan duti eksais ke atas minuman siap yang mengandungi gula melebihi lima gram bagi setiap100 mililiter seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019.

Bagi F&B Thailand, F&N menjangkakan kedudukan domestik secara menyeluruh akan terus mencabar dan mungkin mula membayar cukai korporat tahun depan, selepas penggunaan kerugian dibawa dari perniagaan yang tidak dipromosikan.

“Bagaimanapun, kami akan terus membangunkan kapasiti dan keupayaan kami, meningkatkan daya saing menerusi pembangunan jenama, mengembangkan rangkaian pengedaran untuk meningkatkan jangkauan produk, selain engembangkan lagi rangkaian penjaja setia kami," katanya.

Dari segi pengedaran, F&N merancang untuk memperluas liputannya kepada seberapa banyak saluran yang mungkin dan akan bersinergi dengan ThaiBev Thailand untuk memperluas pengedaran syarikat dalam saluran runcit Thai F&B.

Sementara itu, eksport FY18 dari Malaysia terus melaporkan pertumbuhan dua digit tahun ke tahun, menandakan bahawa syarikat itu berada pada kedudukan yang betul untuk melepasi matlamat pendapatan RM500 juta pada 2020. - - BERNAMA

Berita Harian X