Jumaat, 28 Disember 2018 | 11:24am
Pulau Tioman akan mendapat bekalan 15 peratus RE bermula tahun depan.
Pulau Tioman akan mendapat bekalan 15 peratus RE bermula tahun depan.

Pulau Tioman terima tenaga elektrik RE tahun depan

KUALA LUMPUR: TNB Energy Services Sdn Bhd (TNBES), anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Bhd (TNB), meningkatkan pembekalan elektrik kepada penduduk Pulau Tioman menerusi dua projek sumber tenaga boleh diperbaharui (RE).

TNB dalam satu kenyataan berkata pulau yang terletak kira-kira 32 kilometer (km) dari pantai Pahang itu akan mendapat bekalan 15 peratus RE bermula tahun depan.

Dua projek RE TNB itu merangkumi gabungan kapasiti 755kW.

Syarikat utiliti negara itu juga memulihkan stesen hidro mininya di Sungai Mentawak dan memasang panel solar di atas bumbung jeti pulau berkenaan dan pejabat TNB.

TNB berkata, setakat November 2017, kerja-kerja bagi stesen hidro mini itu sudah mencapai 87 peratus siap, sementara panel solar pula 92 peratus.

“Apabila siap tahun depan, Tioman yang menjadi lokasi popular penyelam akan menjadi pulau pertama di Semenanjung Malaysia yang menerima tenaga elektrik menerusi solar dan hidro mini,” katanya.

Menurut TNB, projek itu dilaksanakan untuk mengurangkan kos operasi diesel, selain membuktikan komitmen syarikat ke arah menjadikan pulau lebih bersih dan hijau untuk penduduk dan pelancong di Pulau Tioman.

“Sebahagian besar tenaga elektrik pulau ini dibekalkan oleh TNB menerusi stesen janakuasa Diesel Generator di Kampung Tekek dan Kampung Genting dengan jumlah kapasiti sembilan megawatt (MW),” katanya.

Kerajaan menetapkan sasaran 20 peratus tenaga dijana oleh RE menjelang 2030, manakala TNB pula turut menetapkan sasaran untuk mencapai kapasiti RE sebanyak 1,700MW menjelang 2025.

Berita Harian X