Jumaat, 21 Disember 2018 | 3:18pm

Taman tema kekal sebahagian pelan pertumbuhan Genting Malaysia

sad

KUALA LUMPUR: Genting Malaysia Bhd (Genting Malaysia) menekankan bahawa pembangunan dan pengendalian taman tema masih menjadi sebahagian daripada pelan pertumbuhan kumpulan itu.

Bagaimanapun, dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, syarikat itu berkata, tarikh pembukaan taman tema berkenaan masih belum ditetapkan dan bergantung kepada keputusan yang bakal dibuat kumpulan berkenaan.

Penjelasan itu susulan beberapa laporan sebelum ini yang memberi gambaran bahawa taman tema berkenaan dijadual dibuka awal tahun depan.

"Pembangunan taman tema kekal menjadi sebahagian daripada pelan pertumbuhan Genting Malaysia. Pihak pengurusan juga sedang mempertimbangkan pelbagai pilihan lain untuk taman tema berkenaan.

"Tarikh pembukaan taman tema itu bergantung kepada pilihan yang bakal dibuat Genting Malaysia," katanya.

Menurut laporan Business Times Singapura, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Genting Malaysia, Tan Sri Lim Kok Thay, berkata walaupun tarikh pembukaan taman tema itu pada mulanya dijadualkan pada Januari tahun depan, semua perancangan berjalan lancar.

Sebelum ini, saham Genting Malaysia menyusut selepas kumpulan itu menyaman 21st Century Fox (Fox) dan bakal pemilik baharunya, Walt Disney Co, kerana membatalkan perjanjian untuk taman tema Fox World di resort kasino tanah tinggi di Pahang.

Syarikat itu memfailkan saman di Mahkamah Persekutuan di Los Angeles bagi mendapat pampasan lebih AS$1 bilion dan mendakwa Disney tidak mahu dikaitkan dengan perniagaan perjudiannya.

Pada 2013, Fox memeterai perjanjian pelesenan dengan Genting bagi pembangunan taman tema jenama Fox.

Menurut laporan Bloomberg, Fox World dijangka menjadi tumpuan utama resort Genting yang terletak kira-kira sejam perjalanan dari Kuala Lumpur.

Ia dijangka membantu meluaskan jangkauan resort berkenaan kepada penduduk di negara dan mencapai sasaran 30 juta pengunjung setahun menjelang 2020.

Berita Harian X