Khamis, 20 Disember 2018 | 3:47pm
RAJA Azmi Raja Nazuddin. - NSTP/Eizairi Shamsudin
RAJA Azmi Raja Nazuddin. - NSTP/Eizairi Shamsudin

MAHB enggan komen kemelut PSC tambahan

PETALING JAYA: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) enggan mengulas lanjut mengenai kemelut yang berlaku antara pengendali lapangan terbang itu dan syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Group Bhd dan AirAsia X Bhd.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin, berkata, beliau tidak dapat memberi penjelasan berkenaan hal itu kerana proses saman sedang berjalan.

"Maaf, saya tidak dapat memberikan sebarang komen. Buat masa ini ia masih berjalan," katanya ketika ditemui selepas sesi perbincangan bersama MAHB mengenai KLIA Aeropolis di sini, hari ini.

Semalam, AirAsia menerusi kenyataan menyifatkan peningkatan caj perkhidmatan penumpang (PSC) yang dikenakan MAHB adalah tidak wajar dan akan memberi kesan negatif terutama kepada pelanggan MAHB sendiri.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu juga menggesa pengawal selia dan penggubal dasar dalam industri penerbangan untuk menolak PSC tambahan sebanyak RM23 oleh MAHB.

PSC tambahan yang akan dikutip itu akan berjumlah melebihi RM100 juta setahun dan akan terus kepada keuntungan MAHB dan bukan kepada pihak kerajaan.

Malah, pada minggu lalu, Kementerian Pengangkutan turut bersedia menjadi perantara bagi membantu meleraikan pertikaian antara MAHB dan Kumpulan AirAsia membabitkan PSC.

Menterinya, Anthony Loke berkata, ini penting dalam usaha meredakan ketegangan selain memastikan perkara itu dapat diselesaikan secara baik.

Pertikaian itu menyaksikan anak syarikat MAHB, Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd mengambil tindakan undang-undang terhadap AirAsia Bhd yang juga unit AirAsia Group serta penerbangan jarak jauhnya, AirAsia X Bhd dengan mengemukakan saman masing-masing sebanyak RM9.40 juta dan RM26.72 juta membabitkan PSC.

PSC dibayar oleh penumpang yang berlepas dan dikutip oleh syarikat penerbangan menerusi pembelian tiket sebelum diserahkan kepada MAHB.

Berita Harian X