Isnin, 17 Disember 2018 | 3:55pm

Shopee catat lebih 12 juta pesanan pada Jualan Ulang Tahun 12.12

KUALA LUMPUR: Platform e-dagang terulung di Asia Tenggara dan Taiwan, Shopee berjaya memecah rekod apabila mencatat lebih 12 juta pesanan pada Jualan Ulang Tahun 12.12, baru-baru ini.

Pengarah Urusan Serantau Shopee, Ian Ho, berkata kejayaan itu adalah hasil sokongan daripada lebih 450,000 jenama dan rakan dagang yang menyaksikan platform itu menerima 48 juta kunjungan apabila pengguna memanfaatkan 60 juta tawaran dalam semua kategori.

“Jualan Ulang Tahun Shopee 12.12 menandakan satu lagi mercu jaya penting sambil kami meraikan kecemerlangan kami mencapai pertumbuhan ketara pada tahun ini, hasil kejayaan Shopee 11.11 Big Sale pada November dan Shopee 9.9 Super Shopping Day (Hari Beli-Belah Hebat 9.9 Shopee) pada September.

“Kami berbesar hati untuk menerima sokongan tidak berbelah bagi daripada pengguna Shopee, dan mencatatkan kira-kira 16 juta muat turun di Malaysia, iaitu satu pencapaian besar dalam usaha kami merintis industri e-dagang.

“Ternyata suku tahun ini sungguh menarik dan memuaskan apabila kami memecahkan rekod dan menetapkan penanda aras baharu untuk dicapai pada tahun depan. Kami tidak sabar-sabar untuk mengajak semua pihak untuk mengejar kejayaan lebih besar bersama kami pada 2019,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, permainan dalam aplikasi Shopee juga sangat popular seperti Shopee Shake yang dimainkan 46 juta kali sepanjang kempen.

Di Malaysia, tiga kategori utama yang paling popular dalam kalangan pelanggan ialah kesihatan dan kecantikan; kediaman dan kehidupan; bayi dan mainan.

Katanya, jenama utama termasuk Watsons, Nestle, Pet Pet, Realme dan Petronas muncul sebagai pilihan utama dalam kalangan pengguna.

“Rakyat Malaysia yang muda mahupun yang tua, memang suka Milo. Justeru, adalah tidak menghairankan apabila Nestle Milo Energy Cube menjadi pilihan utama, dengan ulasan hebat tentang khasiat uniknya dalam saiz kudapan yang menyelerakan,” katanya.

Berita Harian X