Khamis, 13 Disember 2018 | 8:40pm

SC sambut baik peningkatan kedudukan tadbir urus korporat Malaysia

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) gembira dengan pengiktirafan diberikan terhadap inisiatif Malaysia untuk menambah baik tadbir urus korporat, hasil daripada usaha kolektif pelbagai pemegang saham.

Dalam kenyataan, pengawal selia pasaran modal itu menyambut baik dapatan laporan ‘2018 Corporate Governance Watch’, dengan Malaysia mencatat peningkatan ketara daripada tempat ketujuh pada 2016 ke tempat keempat tahun ini, selepas Australia, Hong Kong dan Singapura.

“Tadbir urus korporat akan kekal menjadi tema penting dan keutamaan dalam agenda kawal selia SC, untuk memastikan pasaran modal Malaysia terus diiktiraf bagi piawaian integriti dan tata laku baik,” kata Pengerusinya, Datuk Syed Zaid Albar.

Laporan dwitahunan itu merangkumi kaji selidik penarafan pasaran oleh Persatuan Tadbir Urus Korporat Asia (ACGA) di 11 negara Asia dan Australia, dan kaji selidik berasingan oleh penganalisis CLSA di sekitar rantau itu mengenai amalan tadbir urus korporat dalam kalangan lebih 1,000 firma di Asia Pasifik.

Markah diperoleh Malaysia mengatasi markah purata serantau dalam beberapa bidang termasuk peraturan ketat bagi pendedahan korporat dan tadbir urus serta penguatkuasaan.

Katanya, markah diperoleh Malaysia juga adalah yang tertinggi (terikat dengan Australia) bagi kualiti juruaudit dan pengawal selia audit.

SC berkata laporan itu mengiktiraf peranan pengawal selia yang berusaha secara konsisten untuk menggalakkan pembaharuan dalam syarikat dan tadbir urus korporat.

“Ia mengiktiraf penggunaan pendekatan inovatif untuk menambah baik tadbir urus korporat, seperti pengenalan undi dua peringkat bagi pelantikan pengarah bebas yang sudah berkhidmat selama 12 tahun atau lebih menerusi Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG).

“Laporan itu turut menonjolkan ‘budaya penguatkuasaan lebih tegas’ yang menyaksikan peningkatan jumlah pendakwaan dilakukan SC, terutamanya yang berkaitan dengan urus niaga oleh orang dalam,” katanya.

Lembaga Pemantauan Audit SC turut dipuji sebagai antara pengawal selia audit paling berkesan di rantau itu.

“Penggunaan teknologi untuk meningkatkan pemantauan amalan tadbir urus korporat, yang merujuk kepada langkah SC menggunakan data analitik untuk memantau guna pakai MCCG oleh syarikat senaraian awam turut ditonjolkan,” kata suruhanjaya itu.

SC merancang untuk berkongsi dapatannya itu menerusi penerbitan laporan tematik pada awal 2019, katanya. - BERNAMA

Berita Harian X