Ahad, 9 Disember 2018 | 6:37pm
GAMBAR fail, Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia (Lazada), Christophe Lejeune. - Foto Eizairi Shamsudin
GAMBAR fail, Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia (Lazada), Christophe Lejeune. - Foto Eizairi Shamsudin

Lazada yakin masa depan e-dagang Malaysia

KUALA LUMPUR: Masa depan perkhidmatan dagangan elektronik (e-dagang) di negara ini disifatkan sebagai sangat memberangsangkan dengan potensi untuk penerokaan pasaran baharu yang masih luas.

Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia (Lazada), Christophe Lejeune, berkata masih terdapat jutaan rakyat di negara ini yang masih tidak mencuba pengalaman membeli-belah secara dalam talian dan pihaknya menyasar untuk menembusi golongan berkenaan.

“Lazada adalah satu perniagaan yang sedang berkembang dengan jayanya. Walaupun berjaya memecah rekod jualan untuk tempoh sehari yang pada 11 November lalu, kami menganggapnya sebagai satu permulaan kepada perjalanan syarikat di negara ini.

“Kami menyasar untuk mencipta lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini dan dalam masa yang sama menarik jumlah pelanggan yang lebih tinggi untuk membeli-belah di platform kami.

“Selain itu, kami juga akan menawarkan lebih banyak kerjasama dengan pelbagai jenama daripada pelbagai kategori dan dalam masa yang sama kami akan terus meneroka peluang baharu yang boleh memberi manfaat kepada pihak yang terbabit,” katanya kepada Bisnes NSTP dalam satu temubual di sini, baru-baru ini.

Pada Festival Beli-Belah 11.11 yang lalu, Lazada mencatat rekod baru dalam sembilan jam pertama berbanding jualan pada 11.11 tahun lalu.

Dalam tempoh puncak acara terbabit, Lazada menyaksikan peningkatan melebihi 3,000 transaksi jualan setiap minit dengan penjual atau pedagang teratas mencatatkan purata 60 kali ganda jualan melebihi jualan pada hari biasa.

Lejeune berkata, pihaknya juga sudah bersedia untuk berhadapan dengan kempen beli-belah 12.12 tidak lama lagi.

“Berbanding 11.11, 12.12 adalah kempen yang akan berlangsung selama tiga hari dan pastinya ia memberi impak yang berbeza daripada kempen jualan selama sehari.

“Bagaimanapun, kami sudah melakukan persiapan yang sebaiknya termasuklah dengan memastikan stok barangan yang dijual mencukupi serta aspek logistik berada dalam keadaan lancar.

“Ini penting kerana ia membolehkan pelanggan kami mendapat barangan yang dibeli dalam tempoh yang dinyatakan,” katanya.

Sementara itu, Lejeune berkata walaupun sudah enam tahun beroperasi di negara ini, Lazada masih tidak membuat keuntungan.

“Keutamaan kami pada masa ini bukanlah untuk membuat keuntungan tetapi kami lebih memberi tumpuan untuk membina masa depan peniaga di negara ini.

“Kami mengikut jejak langkah syarikat induk kami, Alibaba yang sangat menguntungkan pada masa ini. Enam tahun lalu, Alibaba masih mengembangkan pasarannya dan itulah yang kami sedang lakukan,” katanya.

Lazada turut mempunyai cabang penghantarannya sendiri di negara ini, dikenali sebagai Lazada Express bagi memenuhi jumlah barangan yang perlu dihantar kepada pelanggan setiap hari.

Seramai 600 kakitangan berkhidmat dengan kedua-dua syarikat berkenaan.

Berita Harian X