Jumaat, 7 Disember 2018 | 8:48pm

YTL beli hotel di Madrid pada harga RM1 bilion

KUALA LUMPUR: YTL Corporation Bhd (YTL Corp) melalui anak syarikatnya, YTL Hotels & Properties Sdn Bhd, membeli hotel yang dicadangkan dibina di Madrid, Sepanyol, melalui pembelian seluruh modal saham SOL HTL Project, S.L.U, pada harga RM1.04 bilion.

Hartanah SOL HTL akan ditukar menjadi hotel 200 bilik yang akan dikendalikan di bawah jenama Edition Marriott International Inc, dengan pembukaan disasarkan sebelum 31 Disember 2020.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, ia berkata cadangan pengambilalihan akan dimuktamadkan selepas memenuhi beberapa syarat tertentu, termasuk pembukaan hotel Edition.

“Pertimbangan pembelian dan perbelanjaan bagi cadangan pembelian dijangka akan dibiayai oleh pinjaman dan/atau dana dijana secara dalaman,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X