Isnin, 3 Disember 2018 | 1:35pm
Ketua Pegawai Eksekutif, Cycle & Carriage Bintang, Wilfrid Foo. - Foto Khairul Azhar Ahmad
Ketua Pegawai Eksekutif, Cycle & Carriage Bintang, Wilfrid Foo. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Daimler beli kepentingan Mercedes-Benz di Malaysia

KUALA LUMPUR: Daimler AG mengemukakan pilihan kepada Cycle & Carriage Bhd (CCB) bagi pengambilalihan 49 peratus saham atau 66 juta saham dalam Mercedes-Benz Sdn Bhd (MBM) membabitkan nilai RM66 juta.

CCB berkata, menerusi penjualan itu, ia akan menamatkan pegangannya dalam MBM.

“Pelupusan pegangan ini akan selesai 12 bulan daripada tarikh pelaksanaannya (30 November 2018),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia menjelaskan pelupusan itu menyaksikannya tidak lagi layak menerima dividen tahunan sekitar RM11.2 juta, apabila diumumkan MBM.

Ketua Pegawai Eksekutif CCB, Wilfrid Foo memberi jaminan kepada pelanggan bahawa keputusan itu tidak akan memberi kesan kepada komitmen atau keupayaan syarikat untuk terus memberikan pengalaman luar biasa kepada pelanggannya di seluruh rangkaian pengedarannya di Malaysia.

“Semua pengedar akan terus menyediakan perkhidmatan jualan dan selepas jualan berkualiti berdasarkan piawaian kualiti paling ketat Mercedes-Benz yang disokong oleh MBM,” katanya.

CCB memiliki hubungan jangka panjang dengan Mercedes-Benz lebih 50 tahun.

Ia turut menjadi peneraju kumpulan pengedar Mercedes-Benz di Malaysia, dengan 13 kemudahan jualan dan perkhidmatan selepas jualan di seluruh negara.

Setakat jam 10.56 pagi, saham CCB susut 3.61 peratus kepada RM1.87 daripada penutup Jumaat iaitu RM1.94 sesaham dengan 146,000 saham diniagakan.

-BERNAMA

Berita Harian X