Rabu, 28 November 2018 | 4:08pm

UEM Sunrise raih pendapatan RM1.29 juta sehingga suku ketiga 2018

KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd mencatatkan pendapatan RM1.29 juta untuk tempoh sembilan bulan pertama 2018, susut daripada RM1.56 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Syarikat itu berkata, penyusutan itu berikutan kebanyakan projek yang dijalankan pada tempoh sembilan bulan pertama 2018 masih dalam fasa awal pembangunan berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun 2017 menyaksikan penyiapan projek Teega di Puteri Harbour dan Arcoris Mont’ Kiara.

“Aktiviti pembangunan hartanah menyumbang 63 peratus kepada jumlah keseluruhan pendapatan dengan wilayah selatan merangkumi 45 peratus, diikuti 31 peratus dari wilayah tengah dan 24 peratus dari luar negara.

“Jualan tanah menyumbang 31 peratus kepada pendapatan. Jualan yang belum dibilkan berada pada RM4.7 bilion,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

UEM Sunrise berkata, jualan pembangunan hartanah untuk sembilan bulan pertama 2018 meningkat 34 peratus daripada RM671.1 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu yang disumbangkan dari RUMAWIP Kondominium Kiara Kasih di Mont’Kiara dan Verdi di Symphony Hills, Cyberjaya.

“Wilayah selatan menyumbang 30 peratus, terutama dari Serimbun, Denai Nusantara dan Estuari Gardens di Iskandar Puteri, manakala baki 21 peratus adalah dari projek antarabangsa yang kebanyakannya dari Mayfair di Melbourne, Australia.

“Sehingga kini, syarikat sudah melancarkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM740.2 juta, yang mana RM417.2 juta adalah produk pasaran sederhana dan mampu milik,” katanya.

Mengulas mengenai prestasi itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib, berkata syarikat itu sudah mula memperoleh hasil daripada usaha sulung di Australia dengan penyiapan bahagian pertama Aurora Melbourne Central bernilai AUD86.8 juta (263.4 juta).

“Kami juga berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran jualan RM1.2 bilion, memandangkan sudah mencecah RM900.5 juta setakat akhir September,” katanya.

Berita Harian X