Selasa, 27 November 2018 | 6:49pm

Saham Genting Malaysia susut akibat pembatalan perjanjian

KUALA LUMPUR: Saham Genting Malaysia Bhd jatuh selepas kumpulan itu menyaman 21st Century Fox (Fox) dan bakal pemilik baharunya, Walt Disney Co, kerana membatalkan perjanjian untuk taman tema Fox World di resort kasino tanah tinggi di Pahang.

  

Perkembangan terkini yang menunjukkan urus niaga itu tidak diteruskan telah menyebarkan kebimbangan di pasaran bahawa pertumbuhan masa depan Genting Malaysia mungkin terhalang, mendorong penurunan terhadap penarafan dan harga sasaran selanjutnya oleh firma penyelidikan, kata seorang penganalisis.

  

Saham Genting mencecah paras terendah dalam tempoh lebih lapan tahun sejak 10 September 2010. Ia ditutup 16.67 peratus kepada RM3 hari ini berbanding RM3.60 penutupan semalam.

Ia sebelum ini terjejas ekoran cukai yang dikenakan ke atas produk tidak halal (cukai dosa) yang baharu, menjadikan Resorts World Genting miliknya sebagai kasino yang dikenakan cukai paling tinggi di Asia.

  

Syarikat itu kini berada di belakang Telekom Malaysia Bhd sebagai kedua terburuk dalam kalangan komponen FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) tahun ini.

  

Penjualan baru-baru ini, yang telah mengurangkan lebih daripada RM3 bilion dalam permodalan pasaran dalam satu hari, telah menambah kerugian setakat ini kepada 46.71 peratus.

  

Penganalisis pasaran saham, Nazarry Rosli, berkata pasaran telah bertindak balas terhadap kebimbangan bahawa pembatalan perjanjian itu akan menghalang pertumbuhan Genting.

“Bagaimanapun, pasaran memberikan reaksi yang agak melampau, menjadikan saham berkenaan jatuh mendadak. Kami menjangkakan harga saham akan meningkat semula susulan aktiviti buruan saham harga murah kembali berlaku,” katanya kepada Bisnes NSTP.

Genting Malaysia kini mempunyai sembilan saranan ‘jual’ daripada empat sebelum ini dan hanya tiga saranan ‘beli’ daripada enam.

Harga sasaran konsensus berada pada RM4.14 daripada RM4.51 sebelum ini.

Macquarie Bank muncul sebagai penganalisis yang paling pesimistik, dengan semakan semula harga saham Genting Malaysia kepada RM3.10.

Hari ini, Genting Malaysia memfailkan saman di Mahkamah Persekutuan di Los Angeles bagi mendapat pampasan lebih daripada AS$1 bilion dan mendakwa Disney tidak mahu dikaitkan dengan perniagaan perjudiannya.

Gergasi Hollywood itu sedang dalam fasa memuktamadkan pengambilalihan aset hiburan Fox. Pada 2013, Fox menandatangani perjanjian pelesenan dengan Genting bagi pembangunan taman tema jenama Fox.

Menurut laporan Bloomberg, Fox World dijangka menjadi tumpuan utama resort Genting yang terletak kira-kira sejam perjalanan dari Kuala Lumpur.

Ia dijangka membantu meluaskan jangkauan resort berkenaan kepada penduduk di negara ini dan mencapai sasaran 30 juta pengunjung setahun menjelang 2020.

Berita Harian X