Isnin, 26 November 2018 | 4:49pm

Maybank Islamic tawar skim inovatif sewa beli hartanah

KUALA LUMPUR: Maybank Islamic menawarkan skim inovatif sewa beli hartanah ‘Rent-To-Own’ (RTO) kepada golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah mampu milik di Selangor dibawah program khas Sewa Milik Selangorku.

Selangor adalah negeri pertama yang bekerjasama dengan Maybank Islamic untuk menawarkan penyelesaian RTO melalui satu lagi inisiatif dibawah skim HouzKEY Maybank Islamic.

Pembiayaan sebanyak RM1 bilion akan diperuntukkan oleh Maybank Islamic untuk 4,000 unit kediaman di kawasan seperti Bangi, Sungai Buloh dan Ampang bagi mereka yang layak memohon.

Ia dibangunkan berasaskan konsep Ijarah iaitu skim patuh syariah yang menawarkan 10 tahun kadar sewa bulanan yang tetap kepada pelanggan.

Di bawah program ini, pemohon kali pertama akan mendapat pembiayaan seratus peratus dan menyewa pada kadar sewaan bulanan yang rendah.

Sebanyak 20 peratus daripada jumlah sewa akan disimpan sebagai deposit sekuriti dan jumlahnya akan dikembalikan kepada pelanggan pada akhir tempoh sewaan 10 tahun atau lebih awal apabila mereka menukar kepada pembiayaan perumahan.

Inisiatif diumumkan dalam pembentangan bajet 2019 kerajaan Selangor, Jumaat lalu.

Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari, berkata indeks kemampuan perumahan bukan hanya diukur melalui pembinaan lebih banyak rumah mampu milik, malahan juga keupayaan isi rumah membuat pembayaran pendahuluan.

"Kerjasama ini adalah yang pertama seumpamanya antara kerajaan negeri dan institusi kewangan. Kami berharap dengan pelaksanaan Program Sewa Milik Selangorku ini akan menjadi penyelesaian yang mampan untuk membantu rakyat dalam memiliki rumah di bawah program Selangorku”, katanya dalam kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican, berkata HouzKEY Maybank Islamic dilancarkan pada Januari tahun ini untuk hartanah yang berharga sehingga RM1 juta.

Katanya, Maybank Islamic kemudian merancang untuk mengembangkan sasaran skim ini kepada projek rumah mampu milik.

“Kami berbesar hati menjadi sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Negeri Selangor untuk menyediakan rumah mampu milik kepada pembeli rumah pertama memiliki hartanah yang tidak melebihi RM250,000.

“Kami komited memberikan penyelesaian alternatif kewangan kepada rakyat Malaysia yang benar-benar mahu memiliki rumah pertama selaras dengan misi untuk menginsankan perkhidmatan kewangan,” katanya.

Beliau berkata, HouzKEY Maybank Islamic yang ditawarkan adalah sebahagian daripada inisiatif Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI), iaitu memberikan penyelesaian yang berdaya maju dan mampan dalam pemilikan rumah selaras dengan agenda nasional dalam pemilikan hartanah.

“Kami sentiasa berusaha untuk memperkenalkan produk yang menawarkan saranan nilai yang lebih baik kepada pelanggan. Skim HouzKEY Maybank Islamic menawarkan jalan alternatif kepada pemilikan rumah dan ia produk pertama seumpamanya yang ditawarkan di pasaran oleh institusi kewangan,” katanya.

Berita Harian X