Isnin, 26 November 2018 | 3:29pm

Kerjaya dapat kontrak pembinaan komersial

KUALA LUMPUR: Anak syarikat Kerjaya Prospek Group Bhd (Kerjaya), Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd, memperoleh dua kontrak bernilai RM282.25 juta daripada Nusmetro Group untuk menjalankan kerja-kerja pembinaan di Mont’ Kiara dan Jalan Cheras, di Kuala Lumpur.

Kontrak pembinaan pertama bernilai RM29.82 juta bagi cadangan pembangunan komersial di Jalan Duta Kiara, Mont’ Kiara, yang dijangka bermula hari ini dan dijadual siap pada 25 September 2020.

Kontrak kedua bernilai RM252.43 juta bagi cadangan projek pembangunan komersial di Jalan Cheras, dijadual bermula pada 1 Februari 2019 dan dijangka siap pada 31 Mac 2022.

Syarikat itu berkata kedua-dua kontrak berkenaan akan menjadikan nilai perolehan kontrak kumpulan itu sebanyak RM2.86 bilion.

Setakat ini, kumpulan itu telah memperoleh kontrak berjumlah RM778.15 juta.

“Kami amat gembira dan ingin berterima kasih kepada Nusmetro Group kerana memberi kami peluang untuk bekerjasama dengan mereka sekali lagi.

“Disokong oleh nilai perolehan kontrak yang tinggi, kami menjangka projek ini akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir 2019 hingga 2022,” kata Pengerusi Eksekutif Kerjaya, Datuk Tee Eng Ho dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

-BERNAMA

Berita Harian X