Rabu, 21 November 2018 | 3:22pm

Sime Darby catat untung suku pertama RM225 juta

KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM225 juta pada suku pertama berakhir 30 September 2018.

Perolehan bagi suku itu berjumlah RM8.84 bilion, manakala perolehan asas sesaham berada pada 3.30 sen berbanding 19.30 sen bagi tempoh yang sama.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata ketegangan perdagangan berterusan antara ekonomi utama dunia serta dasar monetari yang lebih ketat telah menimbulkan ketidaktentuan dalam pasaran ekuiti dan tukaran asing.

“Ini telah meningkatkan ketidaktentuan dalam prospek pertumbuhan ekonomi global. Keadaan tidak menentu yang berlanjutan itu mungkin juga menjejaskan pertumbuhan ekonomi rantau ini,” menurutnya.

Sime Darby berkata prestasi bahagian perindustrian terus disokong oleh pemulihan industri perlombongan di Australia.

Pembelian ke atas Heavy Maintenance Group Pty Ltd di Australia dijangka diselesaikan menjelang akhir tahun ini sekali gus melengkapkan dan meningkatkan kapasiti perniagaan pengubahsuaian dan krom silinder sedia ada bahagian itu di Queensland, Australia.

Sime Darby berkata, bahagian automotif sebaliknya dijangka menerima kesan persaingan sengit memandangkan pertumbuhan ekonomi mungkin lembap, khususnya di China, dan kenaikan kadar faedah akan memberi kesan buruk kepada permintaan.

Firma konglomerat ini berkata bagaimanapun bahagian berkenaan akan terus mencari peluang pertumbuhan, terutama di China dan Australia, di samping meningkatkan kecekapan untuk mengurangkan kesan buruk berkenaan.

“Operasi pelabuhan terus menghadapi persaingan dari pelabuhan lain. Bahagian itu akan kekal menumpukan pengukuhan prestasi perniagaannya menerusi peningkatan produktiviti operasi selain mempelbagaikan jenis kargo dan pelanggan.

“Dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi global, lembaga pengarah menjangkakan prestasi syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2019 akan memuaskan,” katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X