Khamis, 15 November 2018 | 1:37pm
KETUA Pegawai Eksekutif Mudah.my, Gaurav Bhasin. - Foto Amirudin Sahib
KETUA Pegawai Eksekutif Mudah.my, Gaurav Bhasin. - Foto Amirudin Sahib

Mudah Auto, laman web automotif paling kerap dilawati

KUALA LUMPUR: Mudah Auto, sebahagian daripada Mudah.my, mengekalkan kedudukan teratas sebagai laman web automotif paling kerap dilawati di Malaysia, demikian menurut data terkini firma pengukur dunia digital, ComScore Inc.

Ketua Pegawai Eksekutif Mudah.my, Gaurav Bhasin, berkata dalam kategori Automotif ComScore, Mudah Auto kekal di kedudukan nombor satu untuk tempoh lapan bulan pertama 2018 dengan purata 676,000 pengunjung setiap bulan.

Katanya, angka itu menjangkau kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan pelayar internet automotif Malaysia dan tiga kali lebih banyak pelawat berbanding pesaing terdekat.

“Berbanding platform automotif lain di Malaysia, Mudah Auto juga menduduki tempat pertama untuk purata minit diluangkan oleh setiap pelawat di telefon bimbit.

“Mengekalkan tempat teratas untuk laman web automotif di Malaysia untuk tahun kedua berturut-turut adalah satu kejayaan, tetapi pencapaian sebenar ialah apabila kami dapat memajukan hubungan pelanggan di samping membina kepercayaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Mudah.my turut mengumumkan dua penambahbaikan produk baharu iaitu Pengesahan Auto Mudah dan PRO Niaga Cars.

Bhasin berkata, Pengesahan Auto Mudah membolehkan penjual kereta mengesahkan penyenaraian iklan mereka secara dalam talian dengan menghantar kad pendaftaran kereta kepada Mudah Auto, manakala PRO Niaga Cars adalah peningkatan model sebelumnya yang bertujuan meningkatkan pengalaman pelanggan untuk peniaga kereta secara khusus.

“Selain peningkatan baharu, pasaran dalam talian juga mengumumkan perkongsiannya dengan Maybank Finance yang membolehkan pengguna Mudah memohon pinjaman kereta secara dalam talian.

“Tawaran ini hanya tersedia untuk kereta yang diiklankan oleh pengedar Mudah yang disahkan melalui platorm itu, dengan jumlah pinjaman minimum RM30,000,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, pasaran dalam talian juga bekerjasama dengan AIG Malaysia Insurance Bhd untuk menawarkan rebat 10 peratus bagi polisi auto yang dibeli di Mudah.my kepada pelanggan.

“kerjasama itu bertujuan untuk memberikan pengalaman pembeli lebih lancar di laman web ini dengan Mudah.my berkhidmat sebagai platform sehenti utama untuk semua keperluan berkaitan produk.

Berita Harian X